Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Monday, September 14, 2020

 Alhamdulillah semakin membiak mereka...

Syukur pada Ilahi kerana pembiakan arnab dah semakin rancak walaupun pada asalnya agak terbantut akibat kematian ibu dan anak mungkin disebabkan cuaca yang terlalu panas sekitar Feb/Mac dulu. Kini 70 sel telah dapat disiapkan. Lihat kepada ruang yang ada, mungkin boleh muatkan lagi 50 sel. Penjualan anak telah mula dibuat dan untuk penjualan daging dijangka dapat dimulakan pada akhir tahun nanti bila seluruh kawasan telah dipenuhi dengan sangkar arnab. 

suasana tempat baru

anak-anak kelahiran ditempat baru




Friday, January 17, 2020

Tahun baru, semangat baru, lokasi baru




Alhamdulillah dipanjangkan umur utk meneruskan usaha meluaskan sedikit kawasan ternakan pada tahun 2020. Tapak tanah disewa dari salah seorang adik dan hari ini proses mencerahkan kawasan sedang dijalankan. Projek kali ini dengan usahasama Sekolah Al-Itqan yang membekalkan struktur bangsal dan bumbung. Cadangan sangkar antara 300 hingga 500 (dua tingkat).
Pohon doakan agar semua rancangan berjalan lancar.

Tuesday, September 10, 2019

Arnab kembali popular

Sejak kebelakangan ini penternakan arnab untuk daging terutamanya nampak semakin mendapat tempat dalam masyarakat. Teringat aku pada zaman sekolah dulu semasa penternakan arnab mungkin baru mula dipromosikan oleh seorang menteri pertanian pada masa itu untuk menternak arnab sebagai salah satu sumber makanan. Satay tentunya merupakan salah satu daripada menunya. Seingat aku disebabkan ramai yang merasakan arnab lebih kepada haiwan kesayangan dan mereka dapati agak sukar untuk menjamah satay atau hidangan daging arnab. Maka projek itu akhirnya hanya menjadi sebagai satu cubaan sahaja dan tiada kejayaan yang ketara.

Kini generasi baru lebih berminat untuk mencuba dan ramai yang mendapati satay arnab sangat enak dan sanggup membayar lebih daripada satay daging atau ayam. Malangnya stok arnab agak sukar didapati kerana tidak ramai penternak yang menjalankan penternakan dalam skala yang besar. Keadaan semasa membuatkan aku untuk membesarkan semula perjalanan dan cita-cita aku untuk menjalankan suatu perusahaan yang berteraskan arnab. Insya Allah dengan izinNya tahun depan aku bertekad untuk membesarkan reban dan mensasarkan untuk memelihara 100 ekor induk. Proses pembiakan dah dimulakan dengan baki induk yang masih ada. Pohon doa semua agar ianya menjadi kenyataan.

Sunday, September 2, 2018

Masih bertahan... tapi skala kecil

Salam sejahtera,

Hobi ini masih diteruskan tapi dalam skala yang kecil sahaja. Di benak fikiran ini masih mempertimbangkan antara kesuntukan masa dan kebaikan seperti beriadah, penenang fikiran dll.
Ada hari tertentu memang tak sempat meluangkan masa menjenguk mereka walaupun kat depan rumah je.


Monday, March 28, 2016

Angan angan belum kesampaian

Salam sejahtera,
Lokasi lama kini telah dibina rumah. Tak lama lagi akan didiami oleh pemilikya (adik bongsu).













Buat sementara ini, semua arnab peliharaanku menetap dalam reban yang dibina depan rumah je, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini. Tanah reserve jalan yang tak jadi dimajukan. Jumlah arnab dalam sekitar 50 induk. Cukup untuk buatkan aku berpeluh tiap hari memberi makanan dan minuman untuk mereka. Kadang-kadang ia juga seakan mengikat kaki ku dari membuat aktiviti lain di petang hari.

Tiap bulan aku akan ke kilang makanan haiwan mendapatkan stok makanan untuk sebulan. Biasanya 20 beg akan dibeli. Daun rumput napier memang tersedia disebelah reban, tapi cuma hari minggu saja dapat aku berikan.





















Angan angan nak buat kandang lebih besar tapi belum berjaya lagi.

Thursday, April 2, 2015

Mencari alternatif makanan

Salam sejahtera,
Beberapa hari lepas, seperti biasa aku ke kilang membeli makanan arnab. menambah stok pallet arnab yang makin berkurangan. Aku dimaklumkan harga seguni 25kg telah naik RM1.00. Hah ha...Tak pastilah apalah puncanya. Samada harga RM yang semakin menurun atau gst atau kedua-duanya sekali. Kini makanan alternatif perlu ditambah untuk mengurangkan kos operasi ternakan arnab ni.

Tuesday, February 17, 2015

Salam sejahtera 2015

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah dalam seminggu yang lepas ada 3 pelanggan (lama dan baru) datang membuat pembelian arnab dari KAA. Teringat pula blog ni yang dah lama tak ada berita. Jadi hari ini diusahakan sedikit coretan buat tatapan pembaca.

Tempat baru depan rumah dirasakan makin sempit bilamana kadar perbiakan semakin bertambah. Ada beberapa sangkar yang menempatkan ibu dan anak-anaknya dalam dua generasi. Biasanya bila anak dah 2 bulan, mereka akan ke sangkar baru. Ibu pula akan mula bersedia untuk anak yang seterusnya.

Baka pedaging masih menjadi tumpuan manakala baka lain seperti lop ear dah mula membiak. Sebelum ini lop ear cukup susah membiak. Asyik kepupusan sahaja.

Cuti raya Cina ni bolehlah repair sikit mana-mana sangkar yang dah dhoif tu...

Monday, May 5, 2014

Lokasi baru

Salam sejahtera,

Entah berapa pernama telah berlalu baru kini aku terasa nak tulis kembali dalam blog ini, Ya, keghairahan untuk menulis semakin meluntur dek kerana kesibukan dan lain-lain faktor penghalang. Tujuan menulis pada kali ini ialah untuk memasukkan sejarah yang akan berlalu.
Dikongsikan pandangan dari atas "Kebun Arnab Ayman" yang kini dalam proses perpindahan. Cadangan asal ialah untuk ke tanah yang lebihkurang sama luas dengan keluasan tanah sekarang tapi disebabkan faktor kewangan dan lain-lain isu yang mendatang, maka tanah rezab jalan depan rumah sahaja menjadi alternatif selesa buat masa ini.

Tempat baru memang agak kecil berbanding yang ada sekarang tapi jika semua sangkar dibuat dua tingkat, mungkin jumlah sangkar ditempat baru akan melebihi jumlah sangkar ditempat sekarang.
Perpindahan permulaan dengan 7 ekor baka telah dibuat 2 minggu yang lalu. Dalam masa 2 bulan lagi mungkin baru semuanya akan dipindahkan. Aku hanya sempat meluangkan masa pada hujung minggu sahaja untuk menyiapkan tempat yang baru. Sebenarnya lot tanah yang aku menumpang ni akan dibina rumah. Notis telah diberikan untuk pindah pada awal Mac tapi sampai sekarang tak dapat pindah sepenuhnya lagi.

Baka pedaging masih menjadi jenis utama yang dipelihara beserta sedikit jenis peliharaan (pet). Aku dah lama tak iklankan dalam mudah.my kerana stok sangat terhad. Ramai dari kalangan yang datang mencari baka arnab mendapat maklumat dari rakan-rakan pemelihara arnab yang lain atau dari pembaca blog ini.




Wednesday, August 21, 2013

Suasana sempurna utk pembiakan

Salam sejahtera,
Ingin berkongsi pengalaman untuk dijadikan tauladan. Berdasarkan prestasi pembiakan yang agak kurang memberansangkan, aku berfikir sejenak mencari-cari apakah sebabnya.. Dan jawaban yang paling baik ialah kerana persekitaran dan suasana kandang arnab aku yang agak bising dengan ayam dan itik yang dibela bersama. Hasil pembacaan dan juga pengalaman lepas semasa tiada ayam dan itik, terdapat perbezaan dalam rekod pembiakan.

Arnab masih melahirkan anak tetapi kadar yang dapat membesar hinggga dewasa agak kurang. Ada ketika ayam akan mematuk anak kecil dicelah-celah jaring dawai sangkar dan ini membuatkan ibu arnab mengambil tindakan memakan anak yang luka tersebut ..ataupun anak yang luka tersebut akan mati disebabkan pendarahan yang teruk.
Melihatkan rekod kadar kelahiran dalam jangkamasa 12 bulan lepas, jumlah kelahiran setiap ibu juga berkurangan. Pernah ada ibu yang melahirkan anak sehingga 11 ekor sebelum ini tapi sekarang jumlah paling banyak rasanya lingkungan 7-8 ekor sahaja. Ini mungkin faktor genetik atau pemakanan... Wallahu aklam.

Disebabkan kadar kelahiran yang agak rendah, permintaan untuk anak arnab dan daging buat masa ini masih tak dapat dipenuhi 100%. Tindakan selepas ini ialah untuk mengasingkan arnab dari haiwan bising lain dan menjadikan suasana lebih kondusif dan aman untuk pembiakan arnab.

Sunday, May 26, 2013

Tinja arnab baik untuk galakkan buah?

Salam sejahtera,
Dah lama tak kemaskini blog ni. Bukan dah tak pelihara arnab...setakat ini masih aktif lagi. Cuma kebelakangan ni dah tak berapa aktif blogging.
Kali ini saya ingin berkongsi tentang penggunaan tinja arnab. Dah lama sebenarnya saya mendapat maklumat yang mengatakan tinja (najis) arnab ni baik untuk galakkan pokok buah-buahan mengeluarkan lebih banyak buah. Tapi tak pernah pula nak cuba letakkan pada pokok sendiri.
Ditakdirkan ada sebatang pokok mempelam yang ditanam depan rumah yang segar-bugar tapi tak banyak mengeluarkan buah. Dah pernah berbuah beberapa kali tapi 2-3 biji saja. Alhamdulillah, setelah dilonggokkan tinja arnab dalam sekitar 6 bulan lepas, kini nampak ada perubahan ketara. Dah 2 kali berbunga selepas baja diletakkan. Kali pertama berbunga, buah yang jadi masih kurang tapi kali kedua ni nampak bercambah sekali bunga dan buahnya.
Dalam kiraan kasar mungkin dalam 30 hingga 40 biji. Dikongsikan beberapa gambar buah-buah mempelam tersebut.











Terdapat juga beberapa pasu yang ditanam dengan pokok cili....sekadar untuk kegunaan sendiri. Ya, tentunya menggunakan tinja arnab perliharaan saya. Alhamdulillah buah cili yang mula keluar nampak besar dan sihat. Harap tak adalah serangga perosak (lalat buah) yang datang menyengat nanti.





Monday, December 31, 2012

Samak kulit arnab (Rabbit skin tanning)

Salam,

Kebiasaannya kulit arnab yang disembelih akan dibuang bersama dengan bahan dalamannya.Suatu hari terlintas di fikiran daripada dibuang begitu sahaja, elok juga disamak dan disimpan untuk dibuat sesuatu. Bermula dari beberapa carian dalam youtube dan juga bahan bacaan lain dari internet, aku pun cubalah menyimpan kulit arnab untuk di samak. Ada beberapa cara yang digunakan samada dengan otak, bahan cecair kimia ataupun minyak kayu murni (furniture polish).
M inyak kayu murni (furniture polish)

Setakat ini baru saja mulakan dengan 3 ekor kulit arnab yang disamak menggunakan minyak kayu murni. Hasilnya pada pendapat aku, boleh tahan juga. 2 daripadanya yang dijemur pada panas terik menjadi agak keras. Terpaksa diketuk dan dilentur, untuk melembutkan kulit tadi. Yang satu tu agak lembut, dan ianya dijemur tapi ditempat teduh, tak mendapat sinar matahari terik secara terus.


3 kulit cubaan kali pertama

Cara yang digunakan, sebaik sahaja kulit dikeluarkan daripada isi badan arnab, kulit tersebut diperiksa agar tiada daging dan lendir yang terlekat pada kulit. Cucian menggunakan pisau. Selepas itu, kulit dibasuh menggunakan sedikit sabun pencuci pakaian agar baunya lebih enak.
Kulit yang telah dicuci sedang disejat sebelum disapu minyak

Setelah dikeringkan untuk beberapa ketika, kulit tersebut disapu dengan minyak kayu murni di seluruh bahagian dalamannya. Ia akan dikeringkan untuk 1-2 hari atau lebih.

Saturday, December 15, 2012

Rancangan perpindahan

Salam sejahtera.

Bilangan arnab semakin berkurang sekarang. Ianya dirancang untuk memudahkan perpindahan pada masa terdekat. Lokasi baru agak sepelaung saja tapi perlukan prasarana yang baik agar tak mengganggu jiran-jiran bersebelahan. Rancangan tergendala disebabkan kewangan yang terhad. Insya Allah dapat bonus hujung tahun ni boleh buat pagar dan bangsal dilokasi baru.

Sementara tu nak kongsi tentang berkembangan berat beberapa ekor induk pedaging terkini. Alhamdulillah Tuah, baka NZW masih ditempat pertama dengan berat 3.9kg, di ikuti Gegar, baka Chincilla, 3.4kg dan Akbar, baka Flemish Giant, 2.8kg. Berat Tuah meningkat hampir 400g dalam masa 6 bulan. Jun lepas beratnya 3.5kg. Mungkinkah dalam setahun lagi ia akan mencapai 5kg? Wallahua'lam.

Tuah, baka NZW

Gegar, Chincilla

Akbar, Flemish Giant


Published with Blogger-droid v2.0.4

Monday, November 5, 2012

Kelahiran anak pedaging

Salam sejahtera,
Alhamdulillah hujung minggu yang baru berlalu terdapat 3 ibu pedaging yang telah melahirkan anak. 2 ibu muda dengan kelahiran pertama masing-masing dan se ekor ibu induk yang telah melahirkan salah se ekor ibu muda tersebut. Semua ibu tersebut melahirkan 5 ekor anak masing-masing. Disebabkan induk yang berkurangan sekarang ni, jumlah kelahiran berbanding dengan jumlah tempahan turut berkurangan. Biasanya dari 15 yang lahir tu, kadar kematian mungkin akan mencecah hingga 20%.

Sunday, September 9, 2012

Salji buat rekod baru



Salam sejahtera,

Alhamdulillah, Salji, baka lop ear memecahkan rekodnya sendiri apabila melahirkan 9 ekor anak malam tadi. Wallahu a'lam aku kurang pasti samada semuanya dapat hidup dan membesar dengan baik. Setakat ini biasanya beberapa ekor akan "pulang" dulu. Bapa kepada anak- anak ni adalah 'Stud', satu- satunya bapa lopear yang masih hidup di KAA. Harapan aku agar baka lop ear dapat membiak baik selepas ni. Setakat ini baka ini belum lagi menjadi walaupun merupakan di antara baka terawal yang dibela.

Satu lagi baka yang diidamkam akan membiak ialah English Angora. Dah beli sepasang tapi kedua-duanya telah pergi. Keturunan baka ori tak dapat cuma kacukan shj. Setakat ni nampak macam Teddy bear shj. Belum ada rezeki lagi rasanya.

Buat masa ni tinggal kurang lebih 55 ekor induk yang berada dalam peliharaan. Rasa lega sikit sebab masa untuk beri makan agak pendek berbanding sebelum ni. Dalam 50 minit dah selesai. Banyak yang telah disembelih Ramadan lepas dan juga jualan yang sikit sikit selepas tu.

Perpindahan tempat tertangguh mungkin sampai awal tahun depan.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Saturday, August 18, 2012

Khenduri berbuka

Salam semua,
KAA ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin kepada pembaca blog ini serta seluruh rakan dan peminat arnab. Ramadan akan berlalu dalam masa beberapa jam sahaja lagi semasa blog ini ditulis. Semoga ianya menjadi suatu latihan beribadat untuk kita semua dan dapat diteruskan untuk bulan-bulan yang seterusnya.

Alhamdulillah pada Ramadan ini sebahagian besar jemaah yang hadir ke majlis berbuka puasa yang KAA  anjurkan bersama saudara lain di surau kampung telah dapat merasai keenakan daging arnab yang dihidangkan. 13 ekor, semuanya jantan telah dikorbankan. Ini merupakan sembelihan yang paling banyak dibuat untuk satu-satu masa. Ada juga yang teragak-agak untuk menjamah pada mulanya... tapi setelah dirasa sedikit, nak lagi dengarnya...

Dikongsikan beberapa gambar anak-anak arnab yang sedang membesar di KAA. Pada umur 2 minggu hingga linkungan 2 bulan merupakan masa anak-anak ni nampak comel sangat.















Wednesday, June 27, 2012

Pedaging paling berat



Salam sejahtera,

Teringat nak tahu perkembangan pedaging yang ada dlm peliharaanku. Tuah, baka NZW jantan nampak makin sihat. Bila ditimbang, masya Allah, dah 3.5kg! Ia merupakan yang paling berat setakat ini.Tak sangka beratnya semakin meningkat. Lain-lain dalam lingkungan 3kg je.
Tuah, baka NZW, kini dah 3.5kg

Gegar, baka Chincilla, 3kg

Labuchi, baka Chincilla, 3kg

Anak Chincilla, hampir 2bln, 1kg


Published with Blogger-droid v2.0.4