Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Saturday, March 27, 2010

Comot...penungguan yang lama

Salam,
Alhamdulillah akhirnya Comot melahirkan anak setelah lebih setahun dalam peliharaan aku. Aku tak tahu buck mana yang bertuah menjadi bapa kepada anak-anak si Comot. Aku dah tak ingat entah berapa kali aku cuba kahwinkan si Comot dan setakat perhatian aku, Comot akan sentiasa berlari menghindari semua buck yang cuba mendekatinya.

Petang tadi semasa memberi makanan aku ternampak bulu-bulu putih bertaburan berdekatan sangkar Comot. Mulanya aku tak berapa perasan dari mana datangya bulu-bulu tersebut. Setelah aku periksa betul-betul, aku dapati ianya datang dari sangkar si Comot. Bila aku teliti dalam sangkar, aku dapati ada 3 ekor anak. Salah satu daripadanya sudah sejuk dan keras tanda ia sudah mati. Comot banyak mencabut bulunya tetapi disebabkan tiada nestbox yang disediakan, hampir semua bulunya jatuh kebawah.

Kini tinggal doe baka Lopear yang masih belum melahirkan anak. Bulan depan genap 1 tahun aku memelihara  si Bulan. Apakah si Bulan akan memberikan kejutan yang sama? Wallahua'lam. Elok juga aku sediakan nestbox dalam sangkar si Bulan ni...

Wednesday, March 24, 2010

Kadar kelahiran & kematian

Salam,

Memang benar arnab cepat membiak. Setahun boleh ada 3 atau 4 kelahiran bergantung kepada penternak. Walaubagaimanapun yang menjadi permasalahan berdasarkan pengalamanku yang baru setahun memelihara ialah kadar kematian anak yang agak tinggi. Kematian berlaku selalunya dalam masa selepas kelahiran sehinggalah dalam lingkungan umur 2-3 bulan. Biasanya selepas 3 bulan, kadar kematian akan menurun atau hampir tiada langsung. Lebih mengecewakan ialah kadang-kadang kematian yang berlaku tanpa sebarang simpton atau tanda-tanda yang jelas. Aku rasa maklumat penjagaan semasa umur kritikal ini masih belum aku fahami secara tepat dan mendalam.



Untuk bulan ini aku masih menunggu kelahiran yang ke 5 (terakhir). Koko dijadualkan akan “kindle” pada 28 Mac nanti. Koko telah dipindahkan dalam sangkar baru dan “nest box” telah diletakkan pada malam tadi.

Saturday, March 20, 2010

Gebu - kelahiran ke 4

Salam, Gebu mengambil tempat ke 4 melahirkan anak bulan ini. Aku hanya sedar tentang kelahiran anak Gebu, doe baka Lionhead petang tadi (20 Mar 10) dengan hanya 1 ekor anak. Aku ingatkan dah tak jadi sebab bila dimasukkan dalam sangkar si Tompok, dua tiga hari lepas, nampak Gebu masih menerima Tompok (breeding belaku). Anak Gebu dah penuh bulu di badannya macam dah 4-5 hari dilahirkan. Juga aku tak nampak langsung kesan bulu badan yang dicabut oleh si Gebu. Wallahua'lam. Macam-macam perangai arnab ni..

Friday, March 19, 2010

Kelahiran ketiga Mac 2010

Salam,
Kapas, doe baka Anggora mengambil tempat ke 3 melahirkan anak bulan ini. Pagi tadi sebelum keluar kerja teringat nak jenguk si Kapas yang mengikut jadualku sepatutnya melahirkan anak kelmarin, 18 Mar 10. Di takdirkan Allah aku datang pada masa Kapas begitu hampir melahirkan anaknya. Jadi dapatlah aku menyaksikan proses kelahiran ini. Ianya merupakan kali ke dua buat aku. Kelahiran kali ini hanya 1 ekor sahaja.

Wednesday, March 17, 2010

Kelahiran kedua Mac 2010

Salam,
Whitey, ibu baka Lionhead yang dibeli pada Dis tahun lepas telah melahirkan anak pada awal pagi tadi. Malam tadi sekitar jam 12 bila aku memeriksa sangkar Whitey, belum ada bulu-bulu badannya yang dicabut untuk menunjukkan saat kelahiran sudah hampir. Pagi tadi sebelum keluar ke pejabat, aku menjenguk sekali lagi dan aku dapat melihat bulu dan kesan darah pada sangkar Whitey. Mulanya aku ternampak 2 ekor anak Whitey di atas lantai sangkar. Salah seekor daripadanya agak sejuk dan terdapat kesan luka pada kakinya. Se ekor lagi badannya agak suam, suhu badan yang normal. Aku mencari jika ada anak lain yang dilahirkan. Sedih bila aku dapati ada 2 ekor lagi anak tapi hanya tinggal bahagian kepala sahaja. Terdapat kesan luka pada bahagian badan mereka. Mungkin ia adalah kerjaan tikus durjana. Mungkin juga kesilapan aku kerana tidak memaksa si Whitey membuat sarang anak dalam kotak sarang yang disediakan. Whitey memilih untuk membuat sarang di atas lantai sangkarnya.

Aku telah memasukkan kedua-dua anak yang masih hidup dalam kotak sarang. Harap-harap Whitey akan menerima tindakan aku tu. Susah juga binatang ni pun. Niat aku untuk menjaga anaknya tapi mungkin pada Whitey aku ni nak mengacau aje. Dari pengalaman lepas kemungkinan anak yang luka itu akan dimakan oleh ibunya. Ini adalah cara fitrah Allah jadikan untuk haiwan menjaga keselamatan diri dan anak yang lain. Aku kena periksa semula bila balik kerja petang nanti. 


Balik dari kerja aku terus menjenguk sangkar Whitey. Seperti sangkaan aku, anak yang luka tu dah menemui Penciptanya, cuma ia taklah ditelan oleh ibunya. Kini hanya tinggal se ekor sahaja anak Whitey yang masih hidup. Harap-harap ia dapat membesar dengan baik. Aku masih perlu memeriksa perkembangan anak ini setiap hari.


Ada satu lagi perkembangan yang menghairankan aku. Cincin yang beranak lima tempohari telah didapati mati. Kesian tengok anak-anaknya yang masih kecil tu (lahir 21 Feb) tak sampai sebulan dah kehilangan ibu. Di sangkar ini juga Cinlun, ibu baka Chincilla yang tengah bunting mati (14 Feb 10). Aku kurang pasti samada terdapat dawai yang tak sesuai atau tikus yang bermain di malam hari sekitar sangkar menyebabkan kematian ini. Ya, suatu misteri di sangkar ini! Kematian tentunya telah ditakdirkan Allah tapi biasanya ada sebab musabab atas sesuatu kejadian itu. Di mana nak letak anak-anak si Cincin tu lepas ni?


Kemungkinan besar jumlah doe yang melahirkan anak tidak seperti jangkaan awal aku. Tak ada sejarah baru agaknya bulan ini. Beberapa ekor ibu yang dijadualkan kelahiran sebelum ini tak menjadi. Aku telah kahwinkan semula beberapa ekor yang dah hampir tarikh kelahiran. Aku hanya merekodkan tarikh ia dikahwinkan tetapi masih tak tahu cara untuk memeriksa samada ia menjadi atau tidak. Aku mencuba beberapa kali tapi tak berjaya, kaedah "palpate" iaitu memeriksa perut ibu arnab samada terjadi benih seperti bebola guli setelah 2 minggu dikahwinkan. Aku perlu belajar secara pratikal dari taiko-taiko arnab tentang perkara ni. Satu lagi kaedah ialah mencuba mengahwinkannya sekali lagi tapi ada risiko terjadi dua pembenihan. Biasanya arnab betina akan menolak dari dikahwinkan sekali lagi bila ia telah bunting.

Monday, March 15, 2010

Itam merasmikannya

Salam semua,
Alhamdulillah kelahiran pertama untuk bulan ini dimulakan oleh Si Itam. Ianya juga merupakan kelahiran sulung untuk Si Itam. Itam adalah anak generasi kedua si Koko. Bapa kepada anak Si Itam ialah tak lain dan tak bukan Si Tompok, baka pedaging NZ dari Mutiara Kristal. 7 ekor anak dilahirkan pada hari Ahad, 14 Mar 2010. Aku hanya mengetahui kelahiran ini pada sebelah petang kerana pada sebelah pagi aku ke B. Pulau menghantar anakku menyertai program remaja di sana. Anak-anak Itam bersaiz kecil tapi aku berharap mereka akan membesar mengikut baka si Tompok.

Cermai & Labu yang mengikut perkiraan aku melahirkan anak pada hujung minggu tidak menunjukkan tanda-tanda bunting. Aku telah kahwinkan semula mereka. Kapas, ibu Anggora telah mula sibuk membuat persiapan untuk kelahiran anaknya. Tarikh due si Kapas ialah pada Khamis nanti, 18 Mar 2010. Ada se ekor lagi doe yang telah juga membuat persiapan kelahiran, si Whitey baka Lionhead. Aku tiada rekod telah kahwinkan doe ini. Mungkin "mating" telah berlaku semasa "outing". Aku pernah mengeluarkan beberapa ekor dari arnab tu dari sangkar mereka untuk bermain-main di kawasan tanah lapang. Patut lah dah beberapa kali aku cuba untuk kahwinkan Whitey, ia tak berminat langsung. Rupa-rupanya dah ada yang berpunya....

Aku menganggarkan pada hujung tahun ini jika kesemua ibu (15) yang ada melahirkan anak dengan purata 5 ekor anak betina setiap kali, dan anak tu dapat pula melahirkan anak (15x5x5) , aku memerlukan sekitar 375 sangkar untuk menempatkan mereka. Wow, banyak nya. 
Buat masa ni, aku bersedia menjual daging arnab dengan harga promosi RM35/kilo. Bekalan amat terhad. Insya Allah hujung tahun nanti baru boleh buat iklan besar-besaran.

Wednesday, March 10, 2010

Sejarah baru bakal dicipta

Salam sejahtera,
Bulan ini kemungkinan satu sejarah baru akan dicipta di Kebun Arnab Ayman. Mengikut rekod, 9 ekor induk  ibu (doe) akan melahirkan anak bermula minggu depan hingga akhir bulan. Teruja juga rasanya kerana sebelum ini hanya 2 atau 3 ekor ibu sahaja yang melahirkan anak dalam sebulan. Aku hanya ada 4-5 kotak sarang untuk mereka. Mungkin aku akan gunakan bekas plastik aje kalau tak sempat nak dibuat kotak sarang untuk mereka. Ada 3 ibu muda yang akan melahirkan anak buat kali pertama. Baka NZW nampak dah besar tapi setakat cubaan pertama untuk dikahwinkan sebelum ini tak berjaya - mungkin ia tak bersedia lagi.

Sementara tu anak Tompok+Koko yang comel & montel, 7 ekor semuanya membesar dengan baik. Alhamdulillah semuanya hidup dan nampak cergas.

Anak-anak Cincin+Tompok yang 5 ekor tu pun nampak sihat-sihat belaka.

Buat masa ini aku bercadang nak simpan mereka utk dijadikan baka pedaging.