Salam,
Setakat hari ini, aku sempat membuat 10 sangkar tambahan untuk menempatkan anak-anak arnab yang semakin membesar. Kebiasaannya aku mula mengasingkan setiap anak yang telah berumur dalam lingkungan 3 bulan ke dalam sangkar berasingan. Ukuran sangkar yang dibuat adalah dalam lingkungan 660mm x 460mm x 410mm tinggi. Ada juga saiz 760mm x 460mm x 410mm tinggi untuk arnab yang bersaiz besar. Memang memenatkan membuat sangkar-sangkar ni. Maklum sajalah kerja ini semuanya hasil tangan sendiri. Tambahan pula masa yang aku sempat berikan hanya dalam sekitar 1-2 jam pada hari biasa dan 3-4 jam pada hari minggu. Walaubagaimanapun aku puas hati melihat arnab-arnab aku duduk agak selesa dalam sangkar mereka.
Kini aku masih lagi sempat membelai arnab-arnab aku semasa memberi mereka makanan. Dengan meningkatnya jumlah arnab dari kelahiran demi kelahiran aku tentu tak dapat berbuat demikian pada setiap arnab yang aku pelihara. Arnab yang selalu dibelai menjadi lebih jinak dari yang dibiarkan sahaja tanpa belaian.
Satu aktiviti yang semakin jarang aku lakukan ialah melepaskan arnab keluar dari sangkar untuk bermain-main di kawasan yang luas. Arnab yang dilepaskan di luar sangkar akan berlari dan melompat-lompat pergi balik seakan anak-anak bermain main di padang mainan. Aksi melompat juga sesetengahnya berbeza menunjukkan mereka gembira. Hanya satu perkara yang perlu diperhatikan iaitu arnab jantan kebanyakannya tak boleh dilepaskan bersama. Oleh kerana sifat jantan yang “territorial”, mereka akan bergaduh sesama jantan yang lain. Aku pernah lihat arnab jantan aku bergaduh sehingga luka luka pada badan mereka. Selepas kejadian itu, aku amat berhati hati hanya melepaskan yang betina dan hanya se ekor atau dua sahaja yang jantan pada satu-satu masa.
No comments:
Post a Comment