Bulan ini aku menjangkakan akan ada tiga atau empat lagi ibu yang akan melahirkan anak. Dua ibu kampong dan setiap seekor dari jenis Anggora dan Lop Ear. Ibu kampung “Koko” (KPG8) setakat ini merupakan ibu yang paling produktif dan paling banyak anak. Koko dah mula menyiapkan sarang untuk anaknya. Berdasarkan tiga kelahiran yang lalu, Koko akan hanya melahirkan anak 3 atau 4 hari lagi. Koko memang dari jenis yang membuat persiapan awal.
Seekor lagi ibu kampung yang bunting ialah “Putih” (KPG10) bermata merah. Ia adalah anak kepada Koko dan KPG9 pada kelahiran pertama. Ini akan merupakan pengalaman kelahiran pertama buat Putih. Harap-harap Putih akan selamat melahirkan dan pandai menjaga anak-anaknya. Pagi tadi kelihatan Putih dah mula mengumpulkan daun pisang kering dan bahan-bahan lain untuk membuat tempat anaknya.
Ibu jenis Anggora (ANG2), arnab pembelian pertama aku juga dijangkakan akan melahirkan anak bulan ini. Kotak sarang telah diletakkan dalam sangkar ibu ini. Setakat pagi tadi belum nampak apa-apa riak ia membuat apa-apa persiapan lagi. Mungkin minggu depan rasanya. Anak-anak ibu ini pada kelahiran pertama telah diasingkan sejak dua minggu yang lalu. Pada pandangan aku biarlah ibu ini berehat daripada karenah anak-anaknya dan bolehlah ia bersedia untuk kelahiran seterusnya.
Seekor lagi ibu baru ialah dari jenis Lop Ear. Pasangan ini masih ditempatkan bersama sejak dari mereka dibeli dulu (Mei 2009). Aku tak pasti bila tarikh mereka bersama. Aku hanya andaikan bila mereka telah menjangkau umur sekitar 6 bulan, ibu ini telah matang untuk melahirkan anak. Kotak sarang telah lebih dari 2 minggu ditempatkan dalam sangkar mereka. Dalam masa 1 minggu lagi akan aku pindahkan yang jantan tu dalam sangkar lain. Aku harap arnab ni yang merupakan jenis yang paling comel dilihat akan membiak dengan baik.
No comments:
Post a Comment