Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Friday, October 23, 2009

Tambahan baka

Sejak aku mula berjinak dengan penternakan arnab awal tahun ini (Mac 09) aku telah membeli baka secara kecil-kecilan, sepasang atau dua sahaja. Selain dari faktor wang, sangkar yang ada juga terhad. Dalam kiraanku, 20 ekor telah dibeli. Kebanyakan dari arnab yang dibeli berumur dalam lingkungan 1-1/2 hingga 2 bulan. Ada juga beberapa ekor arnab dewasa yang aku beli tetapi kebanyakannya arnab jantan. Aku dapati kadar pembiakan arnab aku tak lah seberapa kerana tak banyak arnab betina yang ada dan juga aku terpaksa menunggu sehingga anak-anak tu matang untuk bersedia disenyawakan dan  seterusnya melahirkan anak. Kadar kematian anak semasa kecil juga agak tinggi. Pada semua kelahiran setakat ini, ada anak yang mati. Ibu yang paling banyak beranak ialah KPG8-Koko dengan tiga kali kelahiran sejak dibeli pada 9 Apr 09. Hanya Koko dibeli pada umur matang dan mungkin telah melahirkan anak beberapa kali sebelum ia menjadi milikku. Dua ekor ibu lain yang kelahiran setakat ini merupakan dari peliharaan sejak kecil. Melihat kepada perkembangan setakat ini, aku membuat keputusan untuk menambahkan lagi baka betina agar kadar kelahiran akan lebih berganda.


Aku bercadang ke Pantai Remis berdasarkan maklumat dari kawanku yang mengatakan terdapat ladang di sana yang menjual anak arnab pedaging dengan harga berpatutan. Dah beberapa kali aku merancang untuk ke sana tetapi hajat tu tak kesampaian. Jauh sangat la... Aku mungkin ke sana sekiranya ada perjalanan ke selatan tapi hanya untuk ke sana untuk beli arnab 2-3 pasang macam tak berbaloi. Aku jengok-jengok kat mudah.my mana tahu ada yang nak menjual arnab pedaging dengan harga berpatutan dan tak berapa jauh. Alhamdulillah jumpa satu iklan dari Pn Siti Zawiyah di Changlun. Changlun? Dekat UUM tu? Masih jauh juga. Walaubagaimanapun pada Isnin lepas, 19 Okt aku telah sampai kesana dan membeli 4 ekor anak, betina semuanya. 3 pedaging dan seekor Anggora. Sebenarnya aku pada hari tu menghantar anak sulungku pulang ke sekolah asrama beliau di Pokok Sena, Alor Setar. Jadi untuk ke Changlun tu kira dah agak dekat, dalam 15minit memandu. Cikgu Siti pelihara hampir 90 ekor arnab di kawasan kampung berdekatan rumah beliau. Melihat arnab peliharaan Cikgu Siti membuatkan azam aku untuk pelihara arnab dalam skala yang besar semakin bertambah. Insya Allah tahun depan akan aku peruntukkan sedikit lagi dari bonus tahunan aku untuk membuat rumah arnab yang besar sikit. 

Thursday, October 22, 2009

Berjumpa Veterinar

Beberapa ekor arnab perliharaanku terkena penyakit yang sering ku lihat terjadi pada arnab peliharaan – kurap pada telinga. Dari pembacaanku, antara nama yang biasa dikenali ialah Ear Mites. Pada cuti Deepavali yang lepas aku mengambil kesempatan ke pejabat Veterinar daerah yang kebetulan hanya sekitar 500 meter dari kediamanku. Aku ke sana untuk mendapatkan rawatan pada dua ekor arnabku yang terkena penyakit ini. Sebenarnya ada beberapa ekor lagi yang terkena penyakit yang sama tetapi keadaan yang lain agak terkawal dan tak berapa serius. Aku telah gunakan minyak masak (mineral oil) untuk merawat mereka.

Sampai di pejabat Veterinar, aku terjumpa salah seorang dari sepupuku yang baru aku ketahui mengusahakan ternakan kambing. Dalam perbualan dengan suaminya, aku mendapat tahu bahawa ada beberapa ekor kambingnya yang mati. Mungkin mereka ke sana untuk mendapat khidmat nasihat dan sebagainya. Aku kemudiannya terus ke kaunter dan memaklumkan akan tujuan kehadiran aku ke sana. Aku diminta masuk bersama dua ekor arnab peliharaanku melalui pintu di sebelah tepi untuk ke bilik rawatan. Aku menunggu sekejap sementara pegawai yang berkenaan datang ke bilik rawatan. Setelah hampir limi minit menunggu, pegawai veterinar datang dan menjemput aku masuk ke dalam bilik rawatan. Kami bersembang ringan tentang arnab sementara beliau mencari ubat dan jarum untuk disuntik pada arnab-arnabku. Mula-mula aku keluarkan arnab pedaging NZ ke atas meja rawatan. Pegawai veterinar menyuntik ubat pada bahagian belakang arnab berdekatan dengan leher. Aku membantu memegang arnab supaya tidak lari. Selesai arnab yang pertama, aku mengambil keluar dari bakul arnab Angora jantan untuk diberikan rawatan yang sama. Pegawai tersebut memaklumkan supaya melihat perkembangan penyakit dan sekiranya selepas 12 hari dari tarikh suntikan tidak terdapat kesan positif, akau perlu datang semula untuk mendapat rawatan susulan. Harap-harap tak perlu jumpa lagi sekali...


Selesai suntikan aku kembali ke kaunter depan untuk membuat pembayaran. Jumlah yang dikenakan hanya RM12. Tak lah mahal sangat tapi kalau untuk beberapa ekor lagi, mungkin agak banyak juga jadinya. Aku juga diberikan sedikit cecair vitamin untuk diberikan pada arnab-anabku.