Nampaknya kelahiran anak pada bulan Julai akan berakhir dengan dua ibu sahaja. Si Itamkg + Tompok(NZ) dengan 7 anak dan Si Sayong (NZW)+ Badang(NZW) dengan 5 anak. 12 lagi ibu yang dijadualkan melahirkan anak tak menjadi. Memang "kemarau" di bulan Julai ini. Alhamdulillah apa saja yang ditakdirkan Allah ada hikmahnya yang tersendiri. Mungkin kerana aku belum bersedia dengan sangkar-sangkar tambahan untuk menempatkan makhluk-makhluk yang baru lahir. Insya Allah aku berharap pada bulan Ogos nanti KAA akan dilimpahi rahmat dengan kebanyakan atau semua 15 ibu yang telah dikahwinkan akan melahirkan anak. Bulan Ogos ni kita akan meyambut Ramadan. Tentunya ianya penuh dengan barakah untuk orang-orang yang mencarinya.
Anak Sayong, kelahiran ke-2 |
Sayong, baka NZW pemberian abang Mail, Bendang Kering |
Anak-anak kelahiran yang lepas semuanya telah menghampiri ataupun melepasi usia cerai susu. Telah ada sebahagiannya yang telah bertukar tangan untuk bersama tuan mereka yang baru. Aku sebenarnya ada perasaan sayang melihat mereka berpindah tempat. Mahu saja aku besarkan mereka sendiri bersama di Kebun Arnab Ayman ini. Hati tu mau tapi memang aku kesuntukan masa untuk buat sendiri semuanya. Dengan jumlah ibu yang semakin meningkat, aku perlukan cara pemberian makanan dan minuman secara automatik supaya dapat membolehkan aku memelihara lebih banyak lagi.
Anak Itamkg+Tompok, 7 ekor |
Untuk 1 atau 2 tahun akan datang, aku mungkin akan hadkan jumlah ibu setakat 50 ekor sahaja. Kalau dah menghampiri 100 ekor ibu, mungkin kena cari pembantu untuk menyelenggara peliharaan aku ini. Aku masih lagi bercadang untuk menjadi pembekal daging arnab untuk masa depan. Mungkin lambat lagi untuk menjadi kenyataan kerana baka pedaging yang ada setakat ini masih belum berkembang lagi.
Untuk bulan yang mendatang, aku akan meruangkan masa untuk menambah lagi satu bangsal untuk menempatkan sangkar-sangkar baru. Semoga semuanya berjalan lancar, insya Allah.