Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Thursday, June 24, 2010

Tak menjadi, kahwin semula

Salam sejahtera..
Menurut rekod aku, 8 induk telah dikahwinkan pada bulan lepas dan sepatutnya akan melahirkan anak pada bulan ini. Setakat ini hanya 2 induk telah melahirkan anak. 2 lagi telah menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan anak dengan memenuhi kotak sarang mereka dengan bahan-bahan yang diletakkan dalam sangkar. Yang selebihnya telah dikahwinkan semula. Nampaknya  mungkin 50% sahaja yang menjadi.
Aku telah membaca dan melihat video bagaimana kaedah “palpating” dilakukan ke atas induk arnab setelah lebih kurang 2 minggu dikahwinkan. Cara ini ialah untuk menentukan samada persenyawaan yang dilakukan telah berjaya atau sebaliknya. Bebola sebesar biji guli boleh dirasakan dalam abdomen induk. Aku telah mencubanya beberapa kali tapi masih belum mahir dalam menentukannya secara tepat.
Kaedah lain yang aku selalu gunakan ialah dengan cuba mengahwinkan semula induk. Biasanya induk tidak lagi berminat untuk disatukan dengan pejantan tetapi ada juga kes dimana persenyawaan berlaku. Kaedah ini tidak berapa baik kerana bila dua persenyawaan berlaku, anak akan mati.
Bulan depan insya Allah jika menjadi semuanya, akan ada 13 induk yang melahirkan anak.

Monday, June 21, 2010

"Badang" si NZW dari Changlun

Salam sejahtera… Aku mengambil kesempatan semasa menghantar anak balik ke asrama di Alor Setar pada Sabtu lepas dengan mengunjungi ladang ternakan Cikgu Siti Zawiyah di Changlun. Ini kali kedua aku ke sana. Kalau hanya untuk mendapatkan arnab, mungkin aku berfikir panjang untuk ke sana. Maklum sajalah, perjalanan ke situ agak jauh.
Setelah menghubungi Cikgu Siti, aku terus sahaja ke tempat ternakan walaupun arah ke situ masih ingat-ingat lupa. Alhamdulillah dengan bantuan isteri serta anak-anak sampailah kami ke sana.

Aku lihat telah ada penambahan bangsal tempat peliharaan arnab beliau. Dulu hanya ada satu bangsal tapi kini telah ada dua lagi bangsal, satu untuk arnab dan satu lagi untuk kucing. Setelah memaklumkan kepada pembantu beliau akan kedatangan kami, pintu bangsal yang berkunci telah dibuka untuk kami masuk dan meninjau arnab-arnab yang berada di situ. Beberapa minit setelah aku masuk, Cikgu pun sampai bersama anak kecil beliau. Aku lihat tak banyak anak yang sedia untuk dijual. Menurut cikgu Siti, banyak anak arnab telah dibeli pada hari sebelum itu. Semasa berbual aku ketahui cikgu juga ada menjual beberapa ekor arnab jantan untuk dibuat baka. Aku bertanya samada beliau ada pejantan NZW. Cikgu jawab ada lagi se ekor saja kerana se ekor telah di beli pada hari sebelum tu. Apa lagi aku yang sememangnya tengah mencari-cari pejantan NZW terus melihat ke sangkar NZW tu. Memang tak cantik langsung bulunya kerana menurut cikgu arnab jantan tu kena “spray” oleh pejantan lain. Aku nampak dari segi lain memang tak da masalah. Aku terus beritahu cikgu yang aku nak yang tu. Kotor pun kotor lah, balik nanti kalau sempat aku akan mandikannya, fikirku sendirian. Aku namakan  pejantan NZW ni "Badang" agar ia menjadi pejantan yang gagah dan perkasa.

Aku turut membeli se ekor anak baka Hotot dan se ekor baka Chincilla. Semua anak arnab yang dibeli pada tahun lepas dari cikgu Siti telah mati. Aku harap kali ini semuanya akan hidup dan membiak.

Tuesday, June 15, 2010

Bulan akhirnya disatukan dengan Suria

Alhamdulillah, Bulan akhirnya berjaya disatukan dengan Suria. (sekali baca takut juga dengarnya, macam dah nak kiamat...semoga jadi peringatan buatku). Baka Lop Ear ini adalah antara baka terawal yang dibeli (8 May 2009) tapi entah kenapa tak pernah berjaya aku satukan. Aku telah membawa Bulan untuk dijual pada Ekspo di Seberang Jaya tempohari. Dah nak let go sebab tak produktif langsung. Semasa berada di Ekspo aku nampak riak-riak biang si Bulan bila aku letakkan anak-anak kacukan si Suria dalam sangkar yang sama. Terfikir juga selepas itu untuk aku cuba kahwinkan Bulan bila hapis ekspo nanti.

Bulan bersama anak-anak Suria.

Setakat pengalaman aku, baka lain dalam peliharaan aku yang agak susah disatukan ialah NZW. Pernah aku  bawa "Sayong" ke Taman Arnab Zamrud tapi tak berjaya disatukan. Biasanya aku akan periksa warna alat pembiakan betina samada berwarna kemerahan atau pink yang menandakan ia sesuai untuk disatukan. Waktu awal pagi dan lewat petang merupakan masa yang paling baik untuk aktiviti pembiakan.

Aku bercadang untuk menambah induk pedaging tapi setakat ini belum sempat menyediakan sangkar tambahan. Dawai dan peralatan lain telah dibeli sebahagiannya tapi aku agak kesempitan masa untuk membuatnya. Insya Allah aku akan cuba buat dan siapkan dalam masa 2 bulan dari sekarang...

Sunday, June 6, 2010

Minggu ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya

Alhamdulillah KAA dapat turut serta mempamerkan beberapa ekor arnab utuk dijual di Tapak Ekspo Seberang Jaya bersama rakan-rakan penternak lain. Terima kasih pada Tn Hj Yusof yang menjemput aku. Di antara anak arnab yang dijual ialah dari baka Anggora, Lion head kacukan, Lop Ear dan kacukannya.

Di bawah ialah di antara anak arnab yang ditawarkan dengan harga promosi:
Anak Fuffy (Anggora)+Suria(Lop Ear), umur 2 bulan.


Anak kacukan Lop Ear, umur 2 bulan.

Tuesday, June 1, 2010

Kelahiran kedua yang lebih meyakinkan


Alhamdulillah...Kunyit dan Mek Tam telah melahirkan anak untuk kali kedua kelmarin. Kedua-duanya melahirkan 5 ekor anak masing-masing. Kali ini aku telah menyediakan kotak sarang lebih awal dalam sangkar kedua-dua ibu ini. Pada akhir bulan lepas, mereka telah kematian anak masing-masing selepas melahirkan se ekor anak. Fenomena kelahiran pertama dan suasana persekitaran yang tidak kondusif mungkin menyebabkan anak mereka mati. Aku juga sebenarnya rasa agak sedih dan bimbang dengan apa yang terjadi. Semoga semua anak-anak Kunyit dan Mek Tam akan membesar dan membiak dengan sempurna.

Kunyit

Anak-anak Kunyit, 3 hitam, 2 putih


Mek Tam sejurus selepas melahirkan anak..


Anak-anak Mek Tam, 4 putih dan 1 hitam


Tompok, bapa baka NZ yang telah banyak berjasa...