Salam sejahtera,
Hujan yang turun hampir setiap hari membuatkan kawasan sekitar tempat pemeliharaanku menjadi "lenyaq", becak dan memberikan bau yang kurang selesa. Entah apa kata jiranku tentang bau ni. Isteriku sentiasa mengingatkan aku agar menjaga kebersihan kawasan tapi disebabkan kekangan masa dan tenaga, aku belum dapat melaksanakannya dengan baik. Memang niat nak cari pekerja tapi belum cukup modal lagi buat masa ni.
Perancangan awal baru mula dibuat untuk memindahkan tempat pemeliharaan ke tanah lot berdekatan kepunyaan adikku yang ke dua. Insya Allah kalau ada duit lebihan bonus hujung tahun nanti, dapatlah aku membeli dalam 15 lori tanah untuk dinaikkan sedikit paras tanah di situ. Nak cuba juga dapatkan bantuan dari jabatan-jabatan yang berkaitan.
Sedikit perkembangan kelahiran pada bulan ini.
Meru, baka NZW telah melahirkan 5 anak pada 6 Nov.
Melati, kacukan NZW dengan 2 ekor (1 mati) pada 6 Nov.
Bulan baka Flemish Giant dengan 6 anak pada 7 Nov
Dora baka kacukan Lop dengan 4 anak pada 6 Nov
Buat masa ini, dah ada 3 pelanggan yang membuat tempahan baka betina pedaging. Stok yang jantan setakat ini terlebih permintaan. Kemungkinan besar akan dijual untuk daging aje. Raya Korban baru ni sahaja 4 ekor telah disembelih untuk dijadikan rendang. Bagi mereka yang merasakan rendang isteriku, memang mereka memuji masakannya. Tapi biasanya setelah habis dimakan barulah diberitahu itu daging arnab. Tak semua tetamu yang ingin mencuba kalau mereka tahu juadah tu dari daging arnab.
Alhamdulillah tekad untuk menjadi penternak skala besar masih membara di hati. Masih diperingkat awal tapi berjalan walaupun agak perlahan. Doakan semoga dalam masa 1-2 tahun ini ia akan menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment