Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Monday, May 24, 2010

Kelahiran pertama NZW

Alhamdulillah setelah beberapa lama menunggu (dengan 3 kali cubaan dikahwinkan) akhirnya Sayong, baka NZW pemberian abang Mail telah melahirkan anak buat kali pertama pada hujung minggu lepas. 4 ekor anak telah dilahirkan. Aku hanya mengetahui tentang kelahiran ini pada hari Sabtu malam setelah balik dari berkursus. Pada hari Jumaat petang, aku lihat telah ada sedikit bahan yang telah diletakkan oleh Sayong dalam kotak sarang yang disediakan. Aku telah menambah kertas yang dikoyak kecil ke dalam sangkar Sayong tapi dia tak begitu mengambil hirau tentang kertas-kertas tersebut. Sayong termasuk dalam kategori  yang menyediakan kotak sarangnya pada saat-saat terakhir. 
Melihat kepada kotak sarang yang dipenuhi oleh bulu putih, Sayong mempunyai ciri-ciri ibu yang pandai menjaga anaknya. Harapanku semoga anak-anak Sayong membesar dengan baik dan membiak dengan banyak.

Sayong sentiasa cergas dan telah beberapa kali sebelum ini keluar dari Sangkar untuk meneroka dikawasan luar yang luas.

Pada sehari sebelum tu (Jumaat, 21 Mei), Arang telah melahirkan se ekor anak. Arang juga merupakan ibu yang melahirkan anak buat kali pertama. Tak banyak bulu yang dicabut oleh Arang. Bulu-bulu dari sangkat Cermai yang kematian anak telah ditambah dalam kotak sarang Arang.


Kesihan pada Cermai (baka Hotot) kerana anak yang dilahirkan telah mati kemungkinan besar dipatuk oleh ayam dari bawah sangkar. Hanya tulang belulang seekor anak yang kedapatan pada lantai sangkar Cermai. Setakat ini belum ada lagi anak yang hidup dari dua kelahiran Cermai. Susu pada badan Cermai begitu banyak sehingga meleleh keluar semasa aku mengangkatnya. Aku tidak pasti bagaimana anaknya berada di luar kotak sarang.

Setakat tahun ini, jumlah anak yang dilahirkan telah hampir 50 ekor tetapi kadar kematian amat tinggi. Hanya 30 peratus sahaja yang hidup. Banyak faktor yang tidak diketahui menjadi sebab kematian. Aku perlu buat banyak pembacaan dan pemerhatian untuk mengurangkan kadar kematian ini. Walaubagaimanapun Allah jua yang menentukan.

Monday, May 17, 2010

Aku kehairanan

Aku hairan melihat anak-anak si Koko mati se ekor demi se ekor. Kini hanya tinggal 2 dari 6 ekor pada mula kelahiran. Kematian pertama, aku hanya temui kepala salah seekor dari anak si Koko. Biasanya ibu arnab akan makan anaknya sebagai cara untuk menyelamatkan diri atau anaknya dari sesuatu bahaya. Setelah kematian pertama itu aku telah memeriksa anak-anak yang lain dan didapati sebahagian dari kaki anak-anak itu seperti telah digigit oleh sesuatu. Perbezaan ketara pada anak-anak yang luka kakinya ialah badan mereka agak kecut, mungkin tak dapat minum susu ibu kerana pergerakan mereka menjadi terhad.


Pada Sabtu lepas aku cuba membantu anak-anak tersebut  untuk minum susu ibunya. Aku membaringkan Koko dan semasa proses meletakkan anak ke putting susu si Koko, Masya Allah, aku terkejut melihat hampir semua puting susu Koko terdapat kesan-kesan luka. Aku dapati hanya satu atau dua puting susu Koko yang masih elok.. Kasihan si Koko dan anak-anaknya. Aku tak dapat mengagak apa punca sebenar perkara ini terjadi. Sedih juga kerana tak pasti apa yang perlu dibuat setakat ini.


Monday, May 10, 2010

Kelahiran hujung minggu

Salam, sekadar berkongsi maklumat kelahiran pada hujung minggu. Daripada senarai rekod yang aku ada, terdapat 3 ibu yang dijadualkan untuk melahirkan anak (kindling). Alhamdulillah semuanya telah terlaksana.
Gebu (LH) telah melahirkan 4 ekor anak. Malangnya se ekor anak telah mati. Gebu telah melahirkan anak pada Sabtu, 8 Mei 2010.  Anak-anak Gebu agak kecil, mungkin mengikut saiz Gebu yang agak comel.

Kelahirang ke 2 ialah si Koko (KG) pada pagi Ahad, 9 Mei. Sekitar jam 10 pagi, semasa aku membuat rutin memberi makanan pada arnab peliharaan aku, didapati Koko telah mencabut bulunya dalam kotak sarang. Seperti biasa Koko telah menyiapkan kotak sarang hampir seminggu yang lalu. Seingat aku Koko hanya melahirkan pada malam hari sebelum ini. Pada kali ini aku sempat mengambil rakaman movie pendek semasa Koko melahirkan anak-anaknya. 

Kelahiran ketiga ialah Putih (Kg). Aku dapati kotak sarang Putih telah penuh dengan bulu-bulunya pada sebelah petang Ahad. Aku mencari anak-anaknya dengan menyelak timbunan bulu-bulu Putih. Terdapat kesan-kesan darah dalam kotak sarang. Malang sekali tiada anak yang aku jumpai. Mungkin semuanya telah dimakan oleh Putih, tak ada siapa yang tahu. Memang Putih ada sejarah makan anak sendiri sebelum ini. Wallahua’lam.

Kelahiran terakhir pada hari Ahad ialah oleh Whitey (LH). Kotak sarang untuk Whitey telah dimasukkan agak lewat, hanya pada hari Ahad itu sendiri. Whitey telah memasukkan daun-daun Napier yang ada disangkar ke dalam kotak sarangnya. Aku pula setelah melihat Whitey mula mencabut bulunya telah menambah sedikit lagi carikan kertas dalam sangkarnya. Whitey telah selamat melahirkan 5 ekor anak untuk kelahiran ke-2 ini.

Sementara itu disemadikan di sini gambar-gambar anak-anak lain:
Anak kacukan Lop Ear & tempatan, berusia 2 minggu. Nampak telinga pendek aje, tak tahu telinga mereka akan jatuh atau tidak.

Ini pula kacukan Lop Ear & Anggora. Usia 3 minggu.

Monday, May 3, 2010

April yang telah berlalu

Sepanjang bulan April 2010, terdapat 6 ibu yang telah melahirkan anak. 4 ekor adalah ibu muda yang baru pertama kali melahirkan anak. Mek Tam, Kunyit, Kabu, Cak. Semuanya kecuali Cak melahirkan hanya se ekor anak. Malang sekali semuanya tak hidup lama. Mek Tam kemungkinan tak pandai menyusu lagi dan anaknya mati pada hari kedua setelah dilahirkan. Kunyit dan Kabu masing-masing telah meninggalkan kepala anak sahaja. Badan anak telah dimakan oleh mereka. Mungkin kerana ketiadaan kotak sarang yang sempurna menyebabkan mereka berkelakuan demikian.
Hanya anak Cak yang hidup membesar dengan baik sehingga hari ini. Harap-harap anak kacukan dengan bapa Lop Ear ni akan membesar sehingga dewasa dan membiak pula.
Fuffy dan Comot pula pernah melahirkan anak sebelum ini. Anak Fuffy dah mula keluar dari kotak sarang. Hanya 2 ekor yang tinggal dari 3 kelahiran. Aku tak nampak langsung bayang yang se ekor lagi. Comot melahirkan 2 ekor anak tapi telah mati bila aku temui. Kemungkinan anak yang dilahirkan tak cukup hari sebab nampak agak kecil je. Faktor ketiadaan kotak sarang juga merupakan penyebab anak-anak Comot mati. Untuk masa depan aku kena sediakan kotak sarang dalam sangkar si Comot ni.
Bulan ini, insya Allah akan ada 11 ibu yang dijadualkan melahirkan anak. Harap-harap kadar kematian akan menurun mendadak dengan persiapan awal untuk mereka.