Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Saturday, August 28, 2010

Arang beranak 9




Salam Ramadan pada semua. Semoga kita dikurniakan Allah kekuatan untuk menambahkan amal di bulan yang mulia ini. Alhamdulillah Arang yang dikahwinkan dengan Badang NZW telah melahirkan 9 ekor anak. Ini merupakan satu lagi rekod baru buat aku sepanjang memelihara arnab. Saiz perut Arang tak nampak begitu besar semasa ia bunting. Aku mungkin perlu tumpangkan se ekor pada ibu lain kerana dah terlebih kuota. Puting susu hanya ada lapan je. Ada tiga ekor ibu yang telah mula membuat sarang dalam kotak sarang mereka. Mungkin dalam masa terdekat ini ada yang akan melahirkan anak. Dapatlah ditumpangkan nanti.
Anak Arang 9 ekor bersaiz kecil

Arang, ibu kacukan sedang menikmati daun Napier
Setakat ini, jumlah anak yang dilahirkan pada bulan Ogos ialah 91 ekor. Kemungkinan besar sehingga akhir bulan, jumlah keseluruhan akan melepasi 100. Satu rekod baru bagi KAA. Alhamdulillah segala rezeki itu dari Allah jua.



Wednesday, August 25, 2010

Rekod kelahiran di KAA

Salam Ramadan, selamat mengerjakan amal ibadah di bulan yang mulia.
Alhamdulillah, bulan Ogos ini yang bertindih dengan Ramadan membawa berkat pada Kebun Arnab Ayman. Allah limpahkan rezekiNya dengan rekod kelahiran baru sejak mula berjinak dengan hobi membela arnab ini. Semenjak awal Ogos hingga ke hari ini, 61 ekor anak telah dilahirkan dari 12 induk. Menurut rekod, ada 6 lagi induk yang masih bunting dan dijadualkan akan melahirkan anak dalam masa seminggu ini. Sunggguhpun kadar kelahiran amat memberansangkan, kadar kematian masih menjadi masalah buat KAA. Dari 61 ekor yang dilahirkan, kini hanya tinggal 38 ekor yang masih hidup. Kadar kematian yang tinggi ini masih menjadi masalah yang agak kritikal. Beberapa usaha seperti yang telah ditulis sebelum ini akan dibuat untuk mengurangkan kadar kematian
Anak tumpang & anak-anak Kejora yang masih hidup
Kematian dari ibu makan anak merupakan penyebab utama untuk kes kematian pada kali ini. Lain-lain ialah serangan tikus dan anak terhimpit/tersepit.
Untuk menampung anak yang dilahirkan, aku telah mula membuat bangsal tambahan. Kini bangsal telah hampir 85% siap dan bila aku berpeluang, akan mula membuat sangkarnya pula. Nampaknya lepas Raya la baru nak boleh siap sepenuhnya. Bangsal kali ini dua tingkat dan mungkin boleh menempatkan sekitar 30 sangkar.

Tuesday, August 17, 2010

Perkembangan kelahiran

Alhamdulillah setakat ini 11 induk telah melahirkan anak. Masih menunggu 8 ekor lagi sehingga akhir bulan ini. Nampaknya masalah kelahiran telah menampakkan perubahan baik. Kini masalah kematian pula yang perlu diatasi. Target ialah untuk mengurangkan kadar kematian setakat 15 % shj. Setakat ini tahap kematian dalam lingkungan 78%.

Aku kehairanan, peristiwa sedih

Salam Ramadan buat semua,
Aku hairan dan sedih melihat dua anak arnab aku mati dua hari berturut-turut tanpa aku ketahui punca sebenar kematian itu. Kelmarin se ekor anak mati dengan kepalanya hampir hancur. Pagi ini se ekor lagi mati dengan cara yang sama. Kepalanya hilang terus dengan sedikit luka dibahagian badan. Aku mendengar anak tu menjerit pada waktu aku bangun untuk bersahur. Biasanya arnab jarang berbunyi kecuali dalam dua kes (ikut pengalaman), pertama apabila ia benar-benar sakit dan kedua selepas mengawan (kadang-kadang).
Anak arnab sehari sebelum kematiannya

Aku biasanya menyalahkan si tikus jika anak arnab mati selepas kelahiran hingga dalam lingkungan seminggu. Tapi yang menghairankan aku, anak ini sudah besar (24hari). Mungkinkah ibunya sendiri? atau ada makhluk lain yang telah menjadikan anak ini sebagai mangsanya?
Kepala arnab dimakan makhluk misteri
Aku terfikir juga mungkinkah ini akibat perbuatan ular? Wallahua'lam. Satu lagi pengalaman yang menyedihkan.

Friday, August 13, 2010

7 ibu dengan 41 anak

Salam Ramadan pada semua.
Alhamdulillah setakat pagi ini 7 ekor ibu telah melahirkan anak bulan ini dengan jumlah anak sebanyak 41 ekor. Banyak tu.. Walaubagaimanapun tahap kematian juga agak tinggi. Setakat ini dah 17 ekor mati. Antara sebab kematian yang terjadi setakat ini ialah 1. ibu makan anak  2. anak dimakan tikus 3. anak terhimpit oleh ibu 4. anak jatuh dari sangkar. Mungkin juga ada faktor lain yang belum dikenalpasti setakat ini.
Beberapa langkah yang akan diambil untuk mengurangkan kadar kematian ialah 1. Minimakan gangguan pada ibu yang melahirkan anak 2. litupi sangkar lubang besar dengan dawai lubang kecil 3. saiz kotak sarang dibesarkan 4. sama spt 2.
Ini ialah diantara asam garam dan pengalaman yang dilalui oleh KAA setakat ini.

Saturday, August 7, 2010

Makan anak

Salam,
Dua hari berturut-turut aku terserempak Owasso memakan anak-anaknya. Kelmarin aku terlihat bahagian kepala anaknya masih dimulut Owasso dan hari ini aku dapati dua ekor kepala anaknya dalam sangkar. Mulut Owasso masih mengumit kemungkinan baru sahaja lepas memakan anak-anaknya. Aku berasa kesihan dan menyesal tidak bertindak awal menumpangkan anak-anak Owasso pada ibu lain. Pagi ini aku terus menumpangkan anak-anak Owasso pada Sheera. Owasso pada asalnya melahirkan 7 anak dan kini hanya tinggal tiga sahaja.
Aku memikirkan beberapa perkara yang telah aku lakukan yang mungkin sensitif kepada Owasso. Semua  perkara ini mungkin membuatkan Owasso bertindak memakan anaknya sendiri.
Pertama ialah aku telah memindahkan Owasso ke sangkar lain selepas ia melahirkan anak-anaknya. Aku berbuat demikian untuk mencegah daripada serangan tikus yang telah memakan anak-anak Sayong beberapa hari sebelum itu. Dua ibu lain yang dipindahkan kesangkar lain tidak berperangai seperti Owasso. Kedua aku telah menukarkan jenis pallet yang diberikan. Aku perhatikan makanan dalam bekas makanan Owasso masih banyak seperti tidak dijamah olehnya. Disebabkan kelaparan, mungkin Owasso telah mengorbankan anak-anaknya sendiri untuk hidup. Pengalaman ini menjadi pengajaran buat aku terutama sekali bila bertindak sesuatu melibatkan Owasso.

Thursday, August 5, 2010

Ibu tumpang

Salam,
Alhamdulillah setakat 1 hari nampaknya anak-anak Itam yang ditumpangkan pada Mutiara dan Kejora masih sihat dan ceria belaka. Harapan aku agar Si Mutiara & Si Kejora akan melayan anak-anak angkat mereka dengan baik. Tentu agak bingung juga mereka kerana sebahagian daripada anak-anak tu dah keluar dari kotak sarang manakala anak mereka sendiri masih dalam kotak sarang.
Sehingga 4 Ogos, 4 induk telah melahirkan anak dengan jumlah anak 19 ekor. Harapan aku sekurang-kurangnya 90% dari 20 induk yang dijadualkan lahir pada bulan ini akan menjadi kenyataan.
Anak-anak Owasso, 6 ekor 
Dari 4 kelahiran tu, 3 tak diketahui secara pasti bapa mana yang telah dikahwinkan kerana pada tarikh tersebut mereka dalam proses perpindahan. Terdapat 2 ekor jantan masa tu.

Wednesday, August 4, 2010

Itam pergi meninggalkan 5 anaknya.

Salam,
Petang kelmarin aku dapati Itam terlantar dalam sangkarnya. Mulanya aku ingatkan ia berehat biasa tapi bila diteliti sekali lagi, Masya Allah, dah keras badannya. 5 anaknya yang masih hidup dari 7 kelahiran asal kini dah tiada tempat untuk bergantung lagi. Anak-anak Itam baru berumur 10 hari. Ada yang dah buka mata. Sedih dengan pemergian Itam. Bertambah masalah ialah anak-anaknya yang masih memerlukan susu ibu untuk hidup.
Anak-anak  Itam yang kehilangan ibu

Aku telah meletakkan 3 anak Itam dalam kotak sarang Mutiara dan 2 lagi dalam kotak sarang Kejora. Aku tak pasti samada Mutiara & Kejora sanggup menjadi ibu tumpang pada anak-anak Itam kerana perbezaan tarikh kelahiran yang agak jauh, hampir 7 hari. Anak-anak Itam dah pun tumbuh bulu dengan sempurna manakala anak-anak Mutiara & Kejora masih kemerahan dan togel tanpa bulu. Aku akan lihat perkembangan seterusnya mulai hari ini. Kalau anak-anak Itam tu montel, mungkin percubaan aku berjaya. Kalau tak, akulah yang kena susukan mereka. Harap-harap berjayalah....
Anak Itam dimasukkan bersama anak Mutiara

Monday, August 2, 2010

Kejora lahirkan 5 anak

Pulang dari kerja, aku ke sangkar arnab seperti biasa memberi makan dan minum pada arnab-arnab peliharaan ku. Sampai saja ke sangkar Kejora aku ternampak ada benda bergerak-gerak dalam kotak sangkar. Alhamdulillah, setelah diperiksa aku dapati ada 5 ekor anak telah dilahirkan. Mengikut rekod aku, Kejora hanya akan melahirkan anak pada minggu depan. Memang tak betul rekod tu. Kemungkinan besar Kejora telah berkahwin pada hari ianya dibeli. Patutlah Kejora nampak agak garang sedikit kebelakangan ni. Alhamdulillah tindakan aku meletakkan kotak sarang lebih awal telah menyelamatkan suasana. Tak lah seperti yang terjadi sebelum ini dimana ada salah seekor  arnabku yang telah kehilangan anak disebabkan aku tidak menyediakan kotak sarang lebih awal.
Kejora di sebelah anak-anaknya
Kejora dan anak-anaknya telah dipindahkan ke sangkar yang mempunyai lubang sangkar yang lebih kecil. 

Kelahiran seterusnya mengikut jadual aku ialah pada 7hb ini. Walaubagaimanapun mungkin juga ada satu atau dua kelahiran yang tak berjadual seperti yang berlaku pada Kejora. Aku berdoa agar semua kelahiran pada bulan ini akan berjaya dengan kadar kematian paling minima.


Perasmi bulan Ogos-Mutiara


Salam.
Mutiara baka Hotot merasmikan kelahiran untuk bulan Ogos 2010. Malam tadi tengok si Mutiara ni dah sibuk mencabut bulu-bulunya. Sekitar pukul 11mlm ia masih lagi mencabut bulu.
Rumput dan bulu untuk dimasukkan dalam kotak sarang

Rumput kering memang telah dimasukkan sehari dua sebelum tu. Mutiara telah penuhkan kotak sarangnya dengan rumput tersebut.
kotak sarang yg penuh dengan rumput
Ingat nak tunggu lama lagi tapi malas pulak bila asyik berlawan dengan nyamuk. Entah pukul berapa tak tahulah anak-anak Muitiara tu muncul ke alam ini. Pagi ni aku terus jengok dalam kotak sarang si Mutiara tu. Nampak macam 5 ekor anaknya. Harapan aku semuanya akan membesar dengan baik tanpa gangguan makhluk lain.
Anak Mutiara yang kemerahan 
Tikus merupakan makhluk utama yang mengganggu anak-anak arnab aku buat masa ni. Aku sedih melihatkan Sayong kehilangan semua 5 anak-anaknya angkara tikus. Pada hari ketiga habis anak-anak Sayong hilang tak nampak bayang. Ini kesilapan aku juga kerana lubang sangkar Sayong yang agak besar membolehkan tikus masuk. Sebelum ini aku telah berjaya memerangkap beberapa ekor tikus tapi masih ada saki baki yang tinggal. Aku juga sedang menggunakan racun berbentuk biji-biji halus untuk menghilangkan tikus tu.

Untuk masa hadapan, semua ibu yang akan melahirkan anak akan dipindahkan ke sangkar yang menggunakan saiz dawai kecil.