Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Thursday, December 30, 2010

Gambar anak arnab untuk dijual

Salam,
Atas permintaan peminat arnab yang telah menghubungi saya, disini dipaparkan beberapa gambar anak-anak arnab untuk tempahan dan yang sedia untuk dijual.
Anak Mixie (Lionhead) & Storm (English Spot), T. Lahir=29 Sep 10


Anak Arang (Mix) & Hulk (NZW), Lahir 18 Okt 10 






Anak Kejora (mix) & Badang (NZW), Lahir 5 Dis 10 - Telah ditempah





Telah ditempah


Akbar, Flemish Giant - Bukan untuk dijual......




Anak Stopok (English Spot) & Badang (NZW), Lahir 1 Nov 10







Anak Manis (Mix) & Tompok (English Spot), Lahir 5 Sep 10






Anak Manis (mix) & Tompok (English Spot), Lahir 5 Sep 10









Anak Cak (mix) & Tompok (English Spot), Lahir 1 Dis 10






Anak Licin (Netherland Dwaft) & Hulk (NZW), Lahir 23 Nov 10 






Bersama ibu (Licin)







Anak Manis (Mix) & Tompok (English Spot), Lahir 9 Dis 10






Thursday, December 23, 2010

Tambahan baka pedaging

Salam sejahtera semua.
Semasa aku dan keluarga bercuti di ibu negara pada hujung minggu lepas, aku sempat mengambil peluang melawat salah seorang penternak arnab pedaging di Negeri Sembilan. Perjalanan aku dari KL mengambil masa 1 jam lebih untuk tiba ke lokasi yang dituju. Kalau aku lajak sikit lagi, boleh sampai ke rumah mertua aku di Alor Gajah.
Terdapat 3 jenis baka pedaging yang dipelihara: Flemish Giant, NZ White dan Giant Chincilla. Ada juga baka lop ear tapi aku kurang pasti jenisnya. Aku membeli 2 anak FG betina untuk disatukan nanti dengan Akbar, baka FG yang telah dibeli tempohari, se ekor tiap-tiap satu NZW jantan dan Chincilla jantan. Mereka juga akan dipasangkan dengan Labuchi (Chincilla) & Meru(NZW) yang telah berada di KAA sejak pertengahan Okt lepas.
Sedikit perkembangan.
Akbar telah berjaya menjadi bapa setelah berjaya membuntingkan Mek Tam dengan kelahiran 5 ekor anak. Sayong juga telah dikahwinkan dengan Akbar dan insya Allah pertengahan Januari tahun depan, hasilnya akan dapat dilihat.

Friday, December 3, 2010

Disember 2010

Salam sejahtera,
Pejam celik, pejam celik kini Disember telah tiba. Kita semua akan melangkah ke tahun yang berikutnya dengan pelbagai pengalaman yang telah dilalui. Bagi yang melalui jalan yang baik, insya Allah akan mendapat ganjaran yang baik. Bagi yang melalui sebaliknya, pohonlah keampunan dan perbaikilah segala kekurangan semoga tahun yang mendatang akan memberikan kita kebaikan.
Di KAA, jumlah arnab yang dipelihara tentunya telah bertambah dari sehari ke sehari. Sebahagiannya telah berpindah kepada tuan yang baru, sebahagian lagi telah menjadi hidangan untuk kami sekeluarga. Memang itu antara tujuan KAA dibangunkan. Untuk jangkamasa pendek, jumlah induk yang dipelihara akan dihadkan sekitar 50 ekor sahaja. Kini induk yang ada telah menghampiri 30 ekor. Untuk jangkamasa panjang, satu lokasi baru perlu dicari untuk tujuan menternak baka pedaging secara komersial.
Kalut, tak cukup masa dan kadang-kadang tak boleh pi mana telah menjadi sinonim kepada diri aku. Balik kampung mertua pun tak boleh duduk lama-lama. Dok teringat apa jadi dengan arnab-arnab di KAA. Memang ada saudara lain yang membantu untuk memberi makan dan minum penghuni di KAA tapi berbeza sekali jika diri sendiri yang membelek sendiri arnab-arnab tu. Minat punya pasai, aku masih meneruskan dengan hobi ini.
Sedikit perkembangan kelahiran untuk bulan ini. Cak telah merasmikan kelahiran untuk Disember 2010 dengan 5 ekor anak. Cak adalah kelahiran dari Koko pada 6 Nov 2009. Mula melahirkan anak pada April 2010 dan kini ia telah melahirkan 22 ekor anak dari 4 kelahiran.
Sementara tu, Salji, baka lop ear yang telah melahirkan anak untuk kali pertama nampak cukup manja dengan  anak-anaknya. Semoga mereka membesar menjadi baka yang baik.
Salji merenung tajam...

menikmati juadah, anak-anak sibuk mencari susu....

Thursday, November 25, 2010

Jualan istimewa sempena 10,000 hits di blog KAA

Salam sejahtera,

Sempena blog KAA yang telah melepasi 10,000 hits, KAA dengan ini mengadakan jualan dengan harga istimewa RM30/ekor untuk 10 ekor anak arnab yang berumur 2 bulan ke bawah yang berada di KAA. Siapa cepat dia dapat! Sila datang dan buat pilihan anda.

Kelahiran Nov 2010

Salam sejahtera,
Alhamdulillah nampaknya beberapa usaha yang dibuat di KAA untuk mengurangkan kadar kematian pada anak yang berusia kurang dari 2 bulan telah menampakkan hasil yang positif. Daripada 10 induk yang melahirkan 45 ekor anak, terdapat 10 kematian direkodkan setakat ini. Dua induk telah kehilangan semua anak dengan jumlah 4 anak setiap ibu. Ini KAA kategorikan dalam kes istimewa kerana kematian direkodkan dalam masa kurang dari 2 hari selepas kelahiran. 2 ekor anak lagi adalah dari 2 ibu yang lain. Kadar kematian yang dicatatkan ialah 22%.
Sedikit perkembangan mengenai kelahiran bulan Oktober. Anak Sayong kini tinggal 7 daripada 10, anak Arang pula tinggal 6 dari lapan yang dilahirkan. Dikongsikan beberapa gambar anak-anak kelahiran lepas. Semua anak dibuka untuk jualan kecuali anak Sayong NZW yang akan dijadikan baka.
Sayong NZW dan 7 anaknya

Anak kacukan

Anak kacukan

Mixie, kacukan Lionhead dan anak-anaknya

Anak Fuffy (Angora)

Monday, November 8, 2010

Perlu makanan & minuman yang mencukupi

Salam sejahtera semua,
Memang benar seperti yang telah diperkatakan, ibu yang menyusu perlu ada bekalan makanan & minuman yang mencukupi. Kalau tidak, ada kemungkinan anak-anak mereka akan menjadi mangsa baham ibunya sendiri. Setelah beberapa kali kejadian ibu makan anak berlaku di KAA, pelbagai usaha dilakukan kerana sangkaan aku ianya terjadi disebabkan oleh angkara tikus. Kini setelah ibu diletakkan dalam sangkar yang berjaring kecil, kejadian ibu makan anak tetap berlaku. Dua hari lepas, aku terdengar jeritan anak arnab yang biasanya terjadi apabila ia kesakitan. Pada ketika itu aku sedang memberi makanan dan minuman pada arnab-arnab aku - kerja rutin tiap hari. Aku segera ketempat punca jeritan. Aku dapati se ekor anak Kejora telah tidak bergerak. Setelah diteliti, aku dapati anak malang tu yang telah berumur hampir sebulan telah kudung 3 kakinya dan tidak berkepala. Sedih sekali aku melihatnya. Anak itu cukup gebu bulunya, putih bersih. Aku dapati air telah habis dan makanan dalam bekas juga tinggal serbuk-serbuk halus sahaja. Mungkin rumusan yang aku buat tidak tepat tetapi rasa aku ada logiknya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa sebab sebenarnya.

Tuesday, October 26, 2010

Kelab 8

Salam sejahtera,
Angka 8 dikatakan sebagai angka yang memberikan tuah pada kebanyakan orang Cina. Di KAA, Kelab 8 telah ditubuhkan untuk keahlian kepada induk yang melahirkan anak 8 ekor atau lebih. Setakat ini hanya 2 ekor induk sahaja yang telah menjadi ahli. 
Ahli 001 ialah Si Arang, anak kepada Koko & Rex1 yang dilahirkan pada 6 Nov 2009. Pada usianya yang sudah hampir setahun, Arang telah dua kali melahirkan anak 8 ekor atau lebih. Pada 27 Ogos 2010, Arang telah melahirkan 9 anak dan pada 18 Okt 2010 yang lalu, 8 anak. Alhamdulillah nampaknya semua 8 anak yang dilahirkan bulan ini masih sihat dan aktif. Harap-harap mereka akan membesar dengan baik.
Arang, lahir di KAA


Anak Arang, 8 ekor
Ahli 002 ialah Sayong, baka NZW. Usia Sayong juga dalam lingkungan setahun dan telah melahirkan anak sebanyak 4 kali. Pada kelahiran yang terakhir 18 Okt 2010 minggu lepas, Sayong telah melahirkan 10 ekor anak. Malangnya se ekor telah pulang menemui Penciptanya. Kini hanya 9 yang masih hidup. Anak-anak Sayong tidak dipindahkan pada ibu tumpang kerana dirasakan Sayong yang berbadan sihat dapat menjaga anak-anaknya dengan baik. Makan minum dan sedikit makanan herba tambahan perlu dijaga agar bekalan susu untuk anak-anaknya mencukupi. Anak kali ini ialah hasil perkahwinan dengan Badang. 
Anak Sayong, tinggal 9 dari 10

Sayong, baka NZW berat 3kg
Buat masa terdekat, KAA akan berusaha menambah stok pedaging sedikit demi sedikit. Baka kacukan akan terus dipelihara tapi akan dikurangkan perlahan-lahan. Kemungkinan besar mereka akan menjadi lauk jika tidak dapat dijual.

Thursday, October 21, 2010

Depa dah masuk - baka pedaging

Chincilla

New Zealand White

Flemish Giant

Salam sejahtera,
Depa mai naik kereta, jalan jauh tukaq angin. Baru umur 2 bulan tapi berat masing-masing dah sekitar 2kg (FG-2.1kg, Chincilla-1.6kg, NZW-1.8kg).

Alhamdulillah pencarian baka pedaging dah tercapai. Aku telah menempah 3 ekor FG dari rakan penternak di Selangor melalui blog beliau. Walaupun aku tak dapat semua baka FG yang ditempah, baka lain yang diganti tak kurang bersemangat juga saiz mereka. Aku ingin mengambil kesempatan disini mengucapkan terima kasih kepada rakan sekolah aku yang telah bersusah payah membawa mereka dari negeri Darul Ehsan ke Pulau Mutiara. Semoga Allah memberikan pahala atas pertolongan beliau.
Aku amat teruja sebaik shj menerima mereka, maklumlah sebab baru 2 bulan tapi saiz dan berat mereka hampir mengatasi semua arnab yang ada dalam peliharaan aku, kecuali satu. Yang satu tu ialah si Sayong baka NZW pemberian abang Mail. Apa khabar abang Mail sekarang ya, dah pencen dah ke?
Sayong baru melahirkan anak kali ke tiga dan jumlah anaknya mungkin 7 atau 8 ekor. Berat Sayong kini dah hampir 3kg. Tak sangka juga ia telah jadi seberat tu. Hampir 6 bulan lepas, berat Sayong sekitar 2.5kg. Kemungkinan anak-anak Sayong membesar sehingga 3kg rendah kerana pejantan yang aku ada tidak seberat Sayong. Badang yang dibeli dari Cikgu Siti, Changlun hanya mempunyai berat dalam 2.1kg shj.

Friday, October 15, 2010

2 minggu yg bakal membuatkan aku terus teruja

Salam sejahtera,
Insya Allah, dua minggu yang mendatang ini bakal membuatkan aku terus teruja (excited) dengan 20 ekor induk yang bakal melahirkan anak. Jika beberapa bulan yang lepas KAA telah merekodkan kelahiran sebanyak 116 ekor anak dalam sebulan, potensi suatu rekod baru untuk bulan ini juga adalah besar. Agak malang peratus kematian (dalam masa 1 bulan) untuk kelahiran yang lepas adalah besar. Diharapkan kadar itu akan turun mendadak pada kali ini. Di antara perkara yang telah dan bakal dibuat ialah:
1. membuat dan mengubahsuai sangkar menggunakan dawai berukuran kecil - ini ialah untuk mengelakkan gangguan tikus dan lain-lain makhluk asing yang mungkin mengganggu anak arnab. Ular tedung dan sawa pernah ditemui dan dibunuh di kawasan KAA menternak arnab.
2. menyediakan bekas makanan dan minuman yang bersaiz besar untuk memastikan ianya cukup untuk bekalan sehingga lebih dari sehari.
3. membuat kepungan sekeliling sangkar arnab untuk mengelakkan ayam-ayam KAA mematuk anak arnab. (utk jangkan panjang, pagar akan dibuat memisahkan reban arnab dari kawasan ayam)
4. mengurangkan sentuhan dan gangguan manusia pada anak-anak arnab.
5. menyediakan saiz kotak sarang (nestbox) yang bersesuaian dengan saiz induk - untuk pastikan anak tidak terpijak oleh ibu.

Beberapa induk telah mula memasukkan daun-daun napier dan rumput yang dibekalkan ke dalam kotak sarang mereka. Diantaranya ialah Hariati(LH), Kapas(A), Kejora(M), Arang(M) dan Comot(NZ). Situasi begini kadang-kadang membuatkan aku sangat teruja sehingga masih berada di reban arnab melewati jam 12:00 malam. Mungkin selepas musim kelahiran kali ini aku akan mula menjual anak-anak arnab secara lebih aktif.

Thursday, October 14, 2010

Pelbagai fe'el

Salam sejahtera,
Bagi yang memelihara arnab dalam jumlah yang banyak (lebih dari sepasang)  tentu telah maklum tentang kepelbagaian perangai arnab masing-masing. Sedikit sebanyak haiwan ini ada persamaannya dengan manusia dari segi kepelbagain perangai mereka. Mungkin boleh diambil sedikit iktibar dari pengalaman ini. Ianya memerlukan kita supaya lebih bersabar dan pada ketika tertentu menerima kepelbagaian sebagai suatu yang mesti ditangani secara bijaksana. Dibawah ialah sebahagian daripada sikap, perangai dan fe’el mereka:
  1. Ada yang jinak dan manja.
  2. Ada yang garang, (pernah jari aku digigit mereka…)
  3. Ada yang garang ketika bunting shj
  4. Ada yang buat persiapan awal untuk lahirkan anak
  5. Ada yang tak cabut bulu langsung, terus beranak aje
  6. Ada yang begitu penyayang pandai jaga anak
  7. Ada yang beranak aje tapi tak beri susu langsung
  8. Ada yang beranak tapi makan anak (pelbagai faktor penyebab…)
  9. Ada yang mudah untuk dikahwinkan & ada yang sukar untuk dikahwinkan
  10. Ada yang makan banyak & ada yang makan sikit
  11. Ada yang minum banyak & ada yang minum sikit
  12. Ada yang suka sepahkan makanan & ada yang makan dengan baik

Semuanya dijadikan Allah untuk manusia mengambil menafaat dari mereka.

Dikongsikan gambar Comot dan anak-anaknya:

Semua warna anak ikut bapa

Tinggal 4 ekor, 1 dah dijual
Melur & anak,
Anak tinggal se ekor
Gambar anak baru lahir


Tuesday, October 12, 2010

Belum ku temui

Salam buat semua peminat arnab,
Aku bercita-cita untuk menjadi penternak arnab baka pedaging dan kini telah memiliki beberapa jenis baka yang diternak. NZW, English spot, Chincilla, Dutch adalah antara baka yang aku miliki. Hanya dua ekor, (NZW dan Dutch) yang mempunyai saiz agak besar lingkungan 2.5 kg shj. Aku masih mencari baka bersaiz besar untuk diternak. Flemish Giant & California ialah diantara baka yang aku masih cari-cari.
Kebanyakan baka yang aku miliki kemungkinan besar telah dikacukkan dengan baka lain dan tumbesarannya tidak lagi seperti baka asal. Kalau ada sesiapa di utara ni tahu dimana aku boleh dapatkan baka pedaging saiz 3kg ke atas, silalah maklumi aku.

Wednesday, October 6, 2010

Makan anak dan beranak kali pertama

Salam sejahtera,

Fenomena makan anak pada ibu yang pertama kali beranak berlaku pada kebanyakan ibu muda dalam peliharaanku. Baru-baru ini, Stopok-white (anak kacukan English spot dan baka kampung) telah melahirkan anak buat pertama kali. Agak malang kerana aku hanya sempat melihat 5 kepala anak-anaknya sahaja didalam sangkar. Ia telah dikahwinkan dengan Badang, baka NZW pada usia sekitar 5 bulan lebih.

Perkara yang sama juga berlaku pada Sheera sebelum ini dimana aku telah saksikan sendiri ia sedang mengunyah sebahagian dari badan anaknya. Alhamdulillah, bulan lepas Sheera telah melahirkan anak buat kali kedua dengan 4 ekor anak. Kini anak-anak Sheera dah berumur hampir 3 minggu dan semuanya sihat walafiat.

 

Fenomena makan anak ini aku dapati berlaku pada penternak lain. Aku terbaca dalam website Debmark mengenai perkara ini dan dinyatakan maklumat berikut. Secara dasarnya sebab atau cara mengelakkan dari perkara ini berlaku tidak diketahui.

 

Mother Rabbits Eating Their Young.

 

Question: If you could possibly help me with some answers I would really appreciate it. I'm raising angora rabbits and I've got 1 female I can't trust with her babies. She eats them. She has plenty of food and water, but there must be something I'm not doing, or something she needs. If you have any ideas or information I would really appreciate it.

Thank you for your time.

 

Sincerely,

AnnaBelle

 .

Answer: People that raise a lot of rabbits occasionally come across a doe that eats her young. If this is her first or second litter, she may be forgiven for she knoweth not what she doeth. But if she eats babies with each litter, there's no sense in breeding her anymore. There is no known cause or cure. The problem is that rabbits do not have the same motherly instinct as dogs or cats who will protect their young. Some does will simply neglect their young and let them die. The majority of does, however, once they get the knack of things, will take care of their babies to the extent that their limited instinct will allow them. For instance, baby rabbits must remain in their nest box and not come out of it until they're ready because the mother will not take them back into the box.

As far as any rabbit eating a baby rabbit, sometimes it will think that a baby rabbit is a mouse or something and destroy it. Sometimes stress may cause a rabbit to eat its young. Some think that there is something lacking in the diet. In case this is so, offer some alfalfa hay occasionally. If the doe eats the babies as she is giving birth, I think it is because she doesn't know what is coming out of her and will eat the babies as she would her afterbirth. This is caused by inexperience being a mother, though, and she should be given another opportunity.

 

In any case, do not tolerate a doe eating the young after her second or third litter.

 

Dr. Mark Waldo

 



The information contained in this message is privileged and intended only for the recipients named. If the reader is not a representative of the intended recipient, any review, dissemination or copying of this message or the information it contains is prohibited. If you have received this message in error, please immediately notify the sender, and delete the original message and attachments.

Thursday, September 30, 2010

mengasyikkan

Salam sejahtera untuk semua.
Antara perkara yang menjadi keasyikanku dalam hobi memelihara arnab ni ialah menantikan kelahiran dan melihat anak-anak membesar dari tanpa sebarang bulu di badan mereka, kemudian membesar menjadi anak-anak yang comel, gebu dan geram dilihat. Kitaran ini kini berlaku hampir setiap hari dengan jumlah arnab yang semakin bertambah. Mungkin juga ia merupakan cara aku menghilangkan stress dan lain-lain masalah harian. Walaubagaimanapun dari satu lagi pandangan, hobi ini mungkin juga penyebab kepada masalah lain, maklum sajalah dok belek si arnab aja, anak isteri pula macamana? Pandai-pandailah bahagikan masa.....

Sedikit perkembangan tentang arnab di KAA. Hari ini Mixie telah melahirkan 7 anak. Mixie telah dikahwinkan dengan Storm, anak kacukan English spot pada 29 Aug 10. Pada kelahiran pertama, Mixie mendapat 2 anak. Hanya se ekor yang masih hidup. Kini Mixie telah ditempatkan dalam sangkar baru yang menggunakan wiremesh ukuran kecil. Kemungkinan besar tiada lagi gangguan oleh tikus kali ini. Didoakan semoga semua anak-anak Mixie akan hidup dan membesar dengan baik.
    
Mixie, baka kacukan

Licin (ND) juga dijadualkan akan melahirkan anak pada hari ini. Setakat petang tadi, belum nampak lagi Licin mencabut bulunya. Mungkin malam atau besok pagi rasanya ia akan lahirkan anak.

Saturday, September 25, 2010

Kelahiran September

Salam sejahtera buat semua,
Mengikut rekod aku, bulan ini hanya akan ada 8 kelahiran. Setakat hari ini 5 ibu telah melahirkan anak. Jumlah anak hidup pula ialah 15 dari keseluruhan 20 ekor yang dilahirkan. Beberepa perkara telah dilakukan untuk mengurangkan kadar kematian anak dalam masa 2 bulan selepas dilahirkan. Hanya faktor luaran sahaja yang dapat diubah. Faktor lain yang berkaitan dengan ibu dan anak mungkin tak dapat dikawal.

Tuesday, September 21, 2010

Perkembangan anak-anak arnab

Salam sejahtera, selamat menjalani puasa enam syawal buat yang belum menyempurnakannya lagi.
Ingin berkongsi perkembangan beberapa anak yang masih lagi berada di Kebun Arnab Ayman. Ada beberapa ekor telah berpindah tuan dan banyak juga yang telah kembali kepada Tuan yang memberi nyawa pada mereka dan juga kita semua. Dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan kembali.

Gebu, Kacukan Lionhead bersama 3 anak-anaknya

Comot, baka NZ bersama 4 anaknya


Kabu yang dikahwinkan dengan Badang baka NZW bersama anak 5 anak-anaknya
Kembang (Hotot) yang dikahwinkan dengan Badang NZW bersama 4 anak-anaknya
Melur (Hotot) + Badang NZW dan anak
Licin (ND) yang telah melahirkan 2 anak
Salah se ekor anak kacukan ND

Kalau sempat akan dikongsikan lagi gambar anak-anak arnab ni nanti..

Saturday, August 28, 2010

Arang beranak 9




Salam Ramadan pada semua. Semoga kita dikurniakan Allah kekuatan untuk menambahkan amal di bulan yang mulia ini. Alhamdulillah Arang yang dikahwinkan dengan Badang NZW telah melahirkan 9 ekor anak. Ini merupakan satu lagi rekod baru buat aku sepanjang memelihara arnab. Saiz perut Arang tak nampak begitu besar semasa ia bunting. Aku mungkin perlu tumpangkan se ekor pada ibu lain kerana dah terlebih kuota. Puting susu hanya ada lapan je. Ada tiga ekor ibu yang telah mula membuat sarang dalam kotak sarang mereka. Mungkin dalam masa terdekat ini ada yang akan melahirkan anak. Dapatlah ditumpangkan nanti.
Anak Arang 9 ekor bersaiz kecil

Arang, ibu kacukan sedang menikmati daun Napier
Setakat ini, jumlah anak yang dilahirkan pada bulan Ogos ialah 91 ekor. Kemungkinan besar sehingga akhir bulan, jumlah keseluruhan akan melepasi 100. Satu rekod baru bagi KAA. Alhamdulillah segala rezeki itu dari Allah jua.



Wednesday, August 25, 2010

Rekod kelahiran di KAA

Salam Ramadan, selamat mengerjakan amal ibadah di bulan yang mulia.
Alhamdulillah, bulan Ogos ini yang bertindih dengan Ramadan membawa berkat pada Kebun Arnab Ayman. Allah limpahkan rezekiNya dengan rekod kelahiran baru sejak mula berjinak dengan hobi membela arnab ini. Semenjak awal Ogos hingga ke hari ini, 61 ekor anak telah dilahirkan dari 12 induk. Menurut rekod, ada 6 lagi induk yang masih bunting dan dijadualkan akan melahirkan anak dalam masa seminggu ini. Sunggguhpun kadar kelahiran amat memberansangkan, kadar kematian masih menjadi masalah buat KAA. Dari 61 ekor yang dilahirkan, kini hanya tinggal 38 ekor yang masih hidup. Kadar kematian yang tinggi ini masih menjadi masalah yang agak kritikal. Beberapa usaha seperti yang telah ditulis sebelum ini akan dibuat untuk mengurangkan kadar kematian
Anak tumpang & anak-anak Kejora yang masih hidup
Kematian dari ibu makan anak merupakan penyebab utama untuk kes kematian pada kali ini. Lain-lain ialah serangan tikus dan anak terhimpit/tersepit.
Untuk menampung anak yang dilahirkan, aku telah mula membuat bangsal tambahan. Kini bangsal telah hampir 85% siap dan bila aku berpeluang, akan mula membuat sangkarnya pula. Nampaknya lepas Raya la baru nak boleh siap sepenuhnya. Bangsal kali ini dua tingkat dan mungkin boleh menempatkan sekitar 30 sangkar.

Tuesday, August 17, 2010

Perkembangan kelahiran

Alhamdulillah setakat ini 11 induk telah melahirkan anak. Masih menunggu 8 ekor lagi sehingga akhir bulan ini. Nampaknya masalah kelahiran telah menampakkan perubahan baik. Kini masalah kematian pula yang perlu diatasi. Target ialah untuk mengurangkan kadar kematian setakat 15 % shj. Setakat ini tahap kematian dalam lingkungan 78%.

Aku kehairanan, peristiwa sedih

Salam Ramadan buat semua,
Aku hairan dan sedih melihat dua anak arnab aku mati dua hari berturut-turut tanpa aku ketahui punca sebenar kematian itu. Kelmarin se ekor anak mati dengan kepalanya hampir hancur. Pagi ini se ekor lagi mati dengan cara yang sama. Kepalanya hilang terus dengan sedikit luka dibahagian badan. Aku mendengar anak tu menjerit pada waktu aku bangun untuk bersahur. Biasanya arnab jarang berbunyi kecuali dalam dua kes (ikut pengalaman), pertama apabila ia benar-benar sakit dan kedua selepas mengawan (kadang-kadang).
Anak arnab sehari sebelum kematiannya

Aku biasanya menyalahkan si tikus jika anak arnab mati selepas kelahiran hingga dalam lingkungan seminggu. Tapi yang menghairankan aku, anak ini sudah besar (24hari). Mungkinkah ibunya sendiri? atau ada makhluk lain yang telah menjadikan anak ini sebagai mangsanya?
Kepala arnab dimakan makhluk misteri
Aku terfikir juga mungkinkah ini akibat perbuatan ular? Wallahua'lam. Satu lagi pengalaman yang menyedihkan.

Friday, August 13, 2010

7 ibu dengan 41 anak

Salam Ramadan pada semua.
Alhamdulillah setakat pagi ini 7 ekor ibu telah melahirkan anak bulan ini dengan jumlah anak sebanyak 41 ekor. Banyak tu.. Walaubagaimanapun tahap kematian juga agak tinggi. Setakat ini dah 17 ekor mati. Antara sebab kematian yang terjadi setakat ini ialah 1. ibu makan anak  2. anak dimakan tikus 3. anak terhimpit oleh ibu 4. anak jatuh dari sangkar. Mungkin juga ada faktor lain yang belum dikenalpasti setakat ini.
Beberapa langkah yang akan diambil untuk mengurangkan kadar kematian ialah 1. Minimakan gangguan pada ibu yang melahirkan anak 2. litupi sangkar lubang besar dengan dawai lubang kecil 3. saiz kotak sarang dibesarkan 4. sama spt 2.
Ini ialah diantara asam garam dan pengalaman yang dilalui oleh KAA setakat ini.

Saturday, August 7, 2010

Makan anak

Salam,
Dua hari berturut-turut aku terserempak Owasso memakan anak-anaknya. Kelmarin aku terlihat bahagian kepala anaknya masih dimulut Owasso dan hari ini aku dapati dua ekor kepala anaknya dalam sangkar. Mulut Owasso masih mengumit kemungkinan baru sahaja lepas memakan anak-anaknya. Aku berasa kesihan dan menyesal tidak bertindak awal menumpangkan anak-anak Owasso pada ibu lain. Pagi ini aku terus menumpangkan anak-anak Owasso pada Sheera. Owasso pada asalnya melahirkan 7 anak dan kini hanya tinggal tiga sahaja.
Aku memikirkan beberapa perkara yang telah aku lakukan yang mungkin sensitif kepada Owasso. Semua  perkara ini mungkin membuatkan Owasso bertindak memakan anaknya sendiri.
Pertama ialah aku telah memindahkan Owasso ke sangkar lain selepas ia melahirkan anak-anaknya. Aku berbuat demikian untuk mencegah daripada serangan tikus yang telah memakan anak-anak Sayong beberapa hari sebelum itu. Dua ibu lain yang dipindahkan kesangkar lain tidak berperangai seperti Owasso. Kedua aku telah menukarkan jenis pallet yang diberikan. Aku perhatikan makanan dalam bekas makanan Owasso masih banyak seperti tidak dijamah olehnya. Disebabkan kelaparan, mungkin Owasso telah mengorbankan anak-anaknya sendiri untuk hidup. Pengalaman ini menjadi pengajaran buat aku terutama sekali bila bertindak sesuatu melibatkan Owasso.

Thursday, August 5, 2010

Ibu tumpang

Salam,
Alhamdulillah setakat 1 hari nampaknya anak-anak Itam yang ditumpangkan pada Mutiara dan Kejora masih sihat dan ceria belaka. Harapan aku agar Si Mutiara & Si Kejora akan melayan anak-anak angkat mereka dengan baik. Tentu agak bingung juga mereka kerana sebahagian daripada anak-anak tu dah keluar dari kotak sarang manakala anak mereka sendiri masih dalam kotak sarang.
Sehingga 4 Ogos, 4 induk telah melahirkan anak dengan jumlah anak 19 ekor. Harapan aku sekurang-kurangnya 90% dari 20 induk yang dijadualkan lahir pada bulan ini akan menjadi kenyataan.
Anak-anak Owasso, 6 ekor 
Dari 4 kelahiran tu, 3 tak diketahui secara pasti bapa mana yang telah dikahwinkan kerana pada tarikh tersebut mereka dalam proses perpindahan. Terdapat 2 ekor jantan masa tu.

Wednesday, August 4, 2010

Itam pergi meninggalkan 5 anaknya.

Salam,
Petang kelmarin aku dapati Itam terlantar dalam sangkarnya. Mulanya aku ingatkan ia berehat biasa tapi bila diteliti sekali lagi, Masya Allah, dah keras badannya. 5 anaknya yang masih hidup dari 7 kelahiran asal kini dah tiada tempat untuk bergantung lagi. Anak-anak Itam baru berumur 10 hari. Ada yang dah buka mata. Sedih dengan pemergian Itam. Bertambah masalah ialah anak-anaknya yang masih memerlukan susu ibu untuk hidup.
Anak-anak  Itam yang kehilangan ibu

Aku telah meletakkan 3 anak Itam dalam kotak sarang Mutiara dan 2 lagi dalam kotak sarang Kejora. Aku tak pasti samada Mutiara & Kejora sanggup menjadi ibu tumpang pada anak-anak Itam kerana perbezaan tarikh kelahiran yang agak jauh, hampir 7 hari. Anak-anak Itam dah pun tumbuh bulu dengan sempurna manakala anak-anak Mutiara & Kejora masih kemerahan dan togel tanpa bulu. Aku akan lihat perkembangan seterusnya mulai hari ini. Kalau anak-anak Itam tu montel, mungkin percubaan aku berjaya. Kalau tak, akulah yang kena susukan mereka. Harap-harap berjayalah....
Anak Itam dimasukkan bersama anak Mutiara

Monday, August 2, 2010

Kejora lahirkan 5 anak

Pulang dari kerja, aku ke sangkar arnab seperti biasa memberi makan dan minum pada arnab-arnab peliharaan ku. Sampai saja ke sangkar Kejora aku ternampak ada benda bergerak-gerak dalam kotak sangkar. Alhamdulillah, setelah diperiksa aku dapati ada 5 ekor anak telah dilahirkan. Mengikut rekod aku, Kejora hanya akan melahirkan anak pada minggu depan. Memang tak betul rekod tu. Kemungkinan besar Kejora telah berkahwin pada hari ianya dibeli. Patutlah Kejora nampak agak garang sedikit kebelakangan ni. Alhamdulillah tindakan aku meletakkan kotak sarang lebih awal telah menyelamatkan suasana. Tak lah seperti yang terjadi sebelum ini dimana ada salah seekor  arnabku yang telah kehilangan anak disebabkan aku tidak menyediakan kotak sarang lebih awal.
Kejora di sebelah anak-anaknya
Kejora dan anak-anaknya telah dipindahkan ke sangkar yang mempunyai lubang sangkar yang lebih kecil. 

Kelahiran seterusnya mengikut jadual aku ialah pada 7hb ini. Walaubagaimanapun mungkin juga ada satu atau dua kelahiran yang tak berjadual seperti yang berlaku pada Kejora. Aku berdoa agar semua kelahiran pada bulan ini akan berjaya dengan kadar kematian paling minima.


Perasmi bulan Ogos-Mutiara


Salam.
Mutiara baka Hotot merasmikan kelahiran untuk bulan Ogos 2010. Malam tadi tengok si Mutiara ni dah sibuk mencabut bulu-bulunya. Sekitar pukul 11mlm ia masih lagi mencabut bulu.
Rumput dan bulu untuk dimasukkan dalam kotak sarang

Rumput kering memang telah dimasukkan sehari dua sebelum tu. Mutiara telah penuhkan kotak sarangnya dengan rumput tersebut.
kotak sarang yg penuh dengan rumput
Ingat nak tunggu lama lagi tapi malas pulak bila asyik berlawan dengan nyamuk. Entah pukul berapa tak tahulah anak-anak Muitiara tu muncul ke alam ini. Pagi ni aku terus jengok dalam kotak sarang si Mutiara tu. Nampak macam 5 ekor anaknya. Harapan aku semuanya akan membesar dengan baik tanpa gangguan makhluk lain.
Anak Mutiara yang kemerahan 
Tikus merupakan makhluk utama yang mengganggu anak-anak arnab aku buat masa ni. Aku sedih melihatkan Sayong kehilangan semua 5 anak-anaknya angkara tikus. Pada hari ketiga habis anak-anak Sayong hilang tak nampak bayang. Ini kesilapan aku juga kerana lubang sangkar Sayong yang agak besar membolehkan tikus masuk. Sebelum ini aku telah berjaya memerangkap beberapa ekor tikus tapi masih ada saki baki yang tinggal. Aku juga sedang menggunakan racun berbentuk biji-biji halus untuk menghilangkan tikus tu.

Untuk masa hadapan, semua ibu yang akan melahirkan anak akan dipindahkan ke sangkar yang menggunakan saiz dawai kecil.