Arnab untuk dijual

  • Anda ingin miliki arnab? Sila hubungi saya di 019-4944498 atau datang sendiri ke 1852 Kampung Tersusun Pongsu Seribu, Kepala Batas

Saturday, December 26, 2009

Petang - pilihan Anggoraku

Alhamdulillah petang ini (26 Dis 09) Anggoraku dah beranak untuk kali ke dua. Kelahiran pertama pada September lepas pada sebelah petang dan kali ini juga pada sebelah petang dan rasanya akan berterusan begini untuk kelahiran seterusnya bagi Anggora ini (ANG2). Kali ini kelahirannya sekitar 6:30petang, lewat sedikit berbanding pada dengan kali yang pertama dulu. Pada ketika kelahiran, aku sedang sibuk mendapatkan sedikit dedaun hijau dihadapan rumah. Bulu yang dicabut dari badannya terlalu sedikit untuk menutupi kesemua anak-anaknya. Aku telah mengambil inisiatif memotong sebahagian dari bulunya untuk dibuat penutup anak-anaknya. Jumlah anak (kits) bertambah se ekor kepada 5 ekor. Sebenarnya Anggora ini telah menunjukkan riak untuk beranak hampir seminggu yang lalu dimana ia dah mula sibuk menggumpulkan segala bahan yang ada didalam sangkarnya untuk dibuat pelapik. Aku berharap kali ini semua anaknya akan hidup dan membesar dengan baik. Anak kelahiran pertama semuanya telah mati. Ada yang mati kecil dan ada yang mati setelah berumur lebihkurang 9 atau 10 minggu. Sedikit kebimbangan aku ialah Anggora jantan (buck) yang dikacukkan adalah dari ibubapa yang sama (dua beradik). Daya tahan pada anak kelahiran seperti ini agak lemah dan kemungkinan mati dalam tempoh 2 bulan adalah besar.

Aku bercadang untuk mempercepatkan sedikit tempoh untuk dikahwinkan semula selepas ini memandangkan ia masih muda. Tentunya selepas ini aku akan menggunakan buck yang lain.

Tuesday, December 22, 2009

Masuk sangkar baru

Sejak kelmarin aku mula memasukkan arnab ke sangkar baru yang masih belum siap sepenuhnya. Hanya tingkat atas boleh diduduki setakat ni. Perasmian dimulakan oleh Kelabu dan Itam. Malam ini "si Cincin" anak cincilla changlun, "Mek Tam" lionhead KK dan 3 anak-anak "Koko" pula berpindah ke sangkar baru. Sangkar ini diletakkan berdekatan pokok-pokok pisang bersebelahan reban ayam. Dapatlah sedikit perlindungan dari cahaya matahari dan angin yang kekadang agak kuat.
Pandangan depan


Pandangan belakang





Mek Tam, anak lionhead KK


Itam, anak Koko & Dutch Bkt Gedung


Kelabu Jr, anak Putih Penaga dan Kelabu Sr petshop KB
 

Si Cincin, anak chincilla Changlun


anak-anak Koko dan Dutch Bkt Gedung



Sementara tu pokok Napier Taiwan yang ditanam hampir sebulan yang lalu dah mula bercambah. Aku bercadang untuk menggunakan sedikit kawasan di belakang reban ayam untuk menanam pokok Napier ni.


sebelah pokok pisang







Tuesday, December 15, 2009

Serangan kerengga

Kerengga menyerang arnab aku hingga seekor ibu Anggora telah mati. Aku ingatkan anak kecil aje yang tak tahan dengan semut dan kerengga ni, ibu yang dah besar pun tak tahan juga. Ye lah, arnab ni tak dapat nak mengelak atau menempis binatang halus yang menggigit sekitar mata dan mukanya. Kesihan si Anggora tu. Anak-anak aku telah membuang semua kerengga tu tapi pada keesokkan harinya, ia telah menemui Penciptanya.

Sementara tu sangkar baru aku hanya siap dipasang rangka dan bumbung. Aku belum sempat menyiapkan sel-selnya lagi. Insya Allah sebelum tahun baru nanti aku harap dapat menyiapkan sangkar baru dan menggunakannya.

Tuesday, December 8, 2009

Lawatan dan tambahan sangkar

Pada cuti hari raya haji yang lepas aku ke rumah mertua di Melaka. Niat untuk melawat rakan-rakan penternak yang lain tak kesampaian kerana jadual masa yang agak suntuk dengan program famili. Insya Allah di kesempatan yang lain akan ku cuba lagi. Selalunya bila cuti sekolah yang agak panjang aku akan balik ke Melaka.

Alhamdulillah pada hujung minggu lepas aku sempat melawat ternakan abang Mail di Kuala Kangsar. Terima kasih kepada Pn Zamrud yang telah menghubungkan aku dengan abang Mail. Abang Mail membela beberapa jenis arnab diantaranya Anggora, Lionhead, New Zealand White dan jenis kampung. Seronok tengok sangkar-sangkar arnab tepi tangga rumah aje. Aku agak hairan tak ada bau busuk kencing arnab seperti arnab peliharaan aku. Salah satu maklumat yang abang Mail maklumi ialah beliau tak banyak beri dedaun yang mengakibatkan bau busuk. Terima kasih pada abang Mail yang telah memberikan aku beberapa tips penjagaan arnab dan juga dua ekor arnab yang dihadiahkan pada aku. Aku mendapat se ekor anak NZ White yang memang aku cari-cari dan juga se ekor anak Lion head hitam. Di doakan semoga rezeki abang Mail akan melimpah ruah atas kemurahan hati beliau.

Pada minggu lepas juga aku telah membeli dua ekor anak Lionhead dari Syah di Guar Perahu. Kini jumlah anak-anak arnab yang dibeli dah meningkat. Semua anak yang di beli pada kali ini adalah anak betina dan aku berharap agar semuanya membesar dengan baik dan membiak. Insya Allah dalam masa 2-3 bulan lagi sebahagiannya telah sedia untuk dibiakkan. 


Untuk menempatkan anak-anak arnab tambahan tu, aku telah memulakan projek membuat sangkar baru. Aku menggunakan idea sangkar Pn Zamrud pada rangkanya tetapi tiap-tiap sel sangkar akan dibuat menggunakan wiremesh 1” x 2”. Penggunaan kayu boleh di kurangkan sedikit. Kali ini aku bercadang menempatkan sangkar arnab berdekatan reban ayam disebelah rumah. Ini dapat mengurangkan  bau yang tak enak tapi aku perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan ancaman dari anjing liar yang berkeliaran pada malam hari.


Sedikit maklumat berkenaan anak-anak yang lahir tempohari. Anak si Putih hanya tinggal 2 dari 4 beradik, sementara anak si Koko hanya tinggal 4 dari 7 beradik. Aku perlu selidik punca kadar kematian yang agak tinggi pada umur 1-2 bulan ni...

Monday, November 23, 2009

Jadual pembiakan

Sejak beberapa bulan yang lepas aku menggunakan jadual yang di ambil dari laman web Debmark untuk membiakkan arnab peliharaanku. Secara kasar, arnab akan dikahwinkan semula selepas satu setengah bulan dari tarikh kelahiran terakhir.
Jadual terperinci adalah seperti berikut:
Kahwin (Breed = B)
Masukkan kotak sarang pd hari ke 29 selepas dikahwinkan: B+29
Lahir anak (Kindle) selepas 31 hari= B+31 = K
Keluarkan kotak sarang selepas anak 15 hari = K+15
Kahwin semula pada hari ke 42 selepas kelahiran = K+42
Cerai susu kecuali 1 anak = K+49
Cerai susu semua anak = K+56
Kelahiran kali kedua setelah 73hari dari kelahiran pertama=K+73

Dengan menggunakan jadual di atas, pada setiap 2-1/2 bulan, arnab akan melahirkan anak.

Thursday, November 19, 2009

Kesihatan terganggu

Selain daripada penyakit Ear-mite yang dihidapi oleh beberapa ekor arnabku, ada beberapa ekor yang lain kelihatan kurus dan tak bermaya. Aku kurang pasti apa masalah dan punca sebenar yang menyebabkan mereka menjadi begitu. Pasangan lop ear dan ibu putih mata merah kelihatan amat daif sekali, Fenomena ini baru sahaja terjadi sekitar 2 minggu yang lalu dan ianya agak merunsingkan aku. Ibu Putih kelihatan sukar untuk bergerak dan bahagian sekitar punggungnya agak kotor. Mungkin ada masalah cirit birit. Harap-harap Putih masih dapat menyusukan anak-anaknya yang 4 ekor tu. Setakat ini anak-anak Putih masih gebu-gebu lagi.

Kalau kesihatan anak-anak Putih terganggu, kemungkinan besar terpaksalah di berikan kepada si Koko untuk menyusukan mereka. Aku baru mula berikan vitamin pada mereka dengan harapan selera makan mereka akan bertambah dan masalah yang dihidapi akan turut hilang.

Sunday, November 15, 2009

Anak membesar









Anak-anak arnab dah mula buka mata dan ada yang mula keluar dari kotak sarang mereka. Anak Putih Mata Merah masih empat tapi anak Koko tinggal 5 sahaja. 1 ekor hilang entah ke mana dan se ekor lagi dipercayai keluar dari sangkar bersiar-siar tak pulang-pulang. Mungkin dah menjadi habuan kucing agaknya.



Dalam masa dua minggu lepas anak Anggora aku telah menemui ajalnya. Kemungkinan besar akibat cirit birit melihat dari kesan najisnya. Sebagai ganti aku membeli ibu Anggora (kacukan) dengan harapan dapat membiakkan jenis Anggora pada kadar yang lebih cepat.

Friday, November 6, 2009

Koko beranak 7

Alhamdulillah pagi ini (Jumaat, 6 Nov 09) selepas balik solat Subuh dari surau, aku meninjau kotak sarang si Koko. Hah, nampak banyak bulunya dalam kotak tu. Tentu dah beranak ni. Aku mencari sebatang kayu lalu aku kaiskan sedikit bulu-bulu dalam kotak tu untuk mendapat kepastian. Ya.. dah ada anaknya didalam kotak tu. Aku terus membilang dan aku dapati 7 ekor semuanya. Sama seperti kelahiran pertama Koko. Nombor 7 ni adalah nombor bertuah si Koko dan aku juga turut sama berkongsi nombor yang sama. Keluarga aku 7 beradik begitu juga bilangan keluarga isteri aku. Anak kami juga 7 orang. Memang satu keluarga besar menurut kebiasaan orang sekarang. Penternakan arnab aku ini sedikit sebanyak menjadi salah satu sumber makanan untuk keluarga kami selain dari ayam kampong yang dibela sebelah rumah.

Anak Koko ada pelbagai warna, merah yang akan menjadi putih, kelabu dan gelap. Gabungan warna pada Koko dan “buck” arnab jantan dari Bkt Gedung. Aku berharap anak-anak Koko akan hidup membesar semuanya dengan baik.

Thursday, November 5, 2009

Datang dan pergi



Aku pulang kerja petang kelmarin dengan perasaan ingin tahu yang agak tinggi untuk mengetahui keadaan Putih. Ia kelihatan sibuk di sebelah pagi menyiapkan nestbox untuk kelahiran. Alhamdulillah bila aku menjenguk ke dalam kotak sarang, terdapat pergerakan di situ. Hah, tentu dah beranak ni..Aku terus meneliti di dalam kotak dan aku dapati ada empat ekor semuanya. Dua ekor
daripadanya berbadan merah… bakal mengikut bulu ibunya berwarna putih. Seekor lagi berwarna kelabu..mungkin ikut bapanya dan yang akhir sekali berwarna hitam gelap dengan sedikit belang cerah…hah yang ini mungkin ikut datuknya…

Seperti biasa aku akan meninjau sangkar yang lain untuk menambah makanan dan minuman mereka. Bila aku ke sangkar anak yang di bahagian bawah, aku dapati seekor daripada anak arnab dah mati. Huh huh sedih. Anak arnab yang dibeli dari Cikgu Siti di Changlun hari tu dah mati. Terdapat kesan cirit di bahagian belakang. Ini mungkin gara-gara aku memberi dedaun hijau untuk anak-anak tu. Sebenarnya aku hanya beri beberapa helai untuk mencuba sahaja.
Aku ke sangkar tengah dimana ditempatkan anak-anak Anggora dan anak kampong kelabu bersama seekor anak dari Changlun. Sungguh hiba di hati bila aku dapati seekor lagi anak arnab gebu telah kaku di dalam sangkar. Kini hanya tinggal 2 ekor anak arnab Changlun yang tinggal. Aku tak berapa pasti kenapa anak yang seekor ini mati. Yang aku tahu, anak aku sering bermain-main dengannya kerana bulunya yang gebu dan yang paling comel dari yang lain. Inilah resam kehidupan, ada yang datang dan ada yang pergi. Buat haiwan mereka tak dipertanggungjawab apa-apa tetapi buat kita manusia, perlu buat persiapan dan amalan yang banyak untuk menjadi bekalan di hari yang tak akan ada lagi akhirnya.


Wednesday, November 4, 2009

Menanti hari

Bulan ini aku menjangkakan akan ada tiga atau empat lagi ibu yang akan melahirkan anak. Dua ibu kampong dan setiap seekor dari jenis Anggora dan Lop Ear. Ibu kampung “Koko” (KPG8) setakat ini merupakan ibu yang paling produktif dan paling banyak anak. Koko dah mula menyiapkan sarang untuk anaknya. Berdasarkan tiga kelahiran yang lalu, Koko akan hanya melahirkan anak 3 atau 4 hari lagi. Koko memang dari jenis yang membuat persiapan awal.




Seekor lagi ibu kampung yang bunting ialah “Putih” (KPG10) bermata merah. Ia adalah anak kepada Koko dan KPG9 pada kelahiran pertama. Ini akan merupakan pengalaman kelahiran pertama buat Putih. Harap-harap Putih akan selamat melahirkan dan pandai menjaga anak-anaknya. Pagi tadi kelihatan Putih dah mula mengumpulkan daun pisang kering dan bahan-bahan lain untuk membuat tempat anaknya.



Ibu jenis Anggora (ANG2), arnab pembelian pertama aku juga dijangkakan akan melahirkan anak bulan ini. Kotak sarang telah diletakkan dalam sangkar ibu ini. Setakat pagi tadi belum nampak apa-apa riak ia membuat apa-apa persiapan lagi. Mungkin minggu depan rasanya. Anak-anak ibu ini pada kelahiran pertama telah diasingkan sejak dua minggu yang lalu. Pada pandangan aku biarlah ibu ini berehat daripada karenah anak-anaknya dan bolehlah ia bersedia untuk kelahiran seterusnya.



Seekor lagi ibu baru ialah dari jenis Lop Ear. Pasangan ini masih ditempatkan bersama sejak dari mereka dibeli dulu (Mei 2009). Aku tak pasti bila tarikh mereka bersama. Aku hanya andaikan bila mereka telah menjangkau umur sekitar 6 bulan, ibu ini telah matang untuk melahirkan anak. Kotak sarang telah lebih dari 2 minggu ditempatkan dalam sangkar mereka. Dalam masa 1 minggu lagi akan aku pindahkan yang jantan tu dalam sangkar lain. Aku harap arnab ni yang merupakan jenis yang paling comel dilihat akan membiak dengan baik.




Tuesday, November 3, 2009

New experience


During the weekend I had the opportunity to witness my rabbit going through the labor and delivery of her kit. At around noon I noticed my local breed doe was busy preparing a nest for her new baby. It was her third delivery this year. So far only one survived. I added some leaves and cloth for her. She built the nest in the middle of the cage, not inside the nest box which was placed few days earlier.


During labor, the rabbit was seen at a “sitting” position and busy cleaning herself. At some interval her body would sort of jerk a little bit. After going through the process I saw the kit on the bedding. She cleaned the body of her baby and at one point I was a bit surprised to see it chewed the afterbirth (placenta?) of the baby. Only one kit was born but unfortunately it was not alive. I saw the body was not moving at all. The doe probably need to rest longer than usual this time.

Friday, October 23, 2009

Tambahan baka

Sejak aku mula berjinak dengan penternakan arnab awal tahun ini (Mac 09) aku telah membeli baka secara kecil-kecilan, sepasang atau dua sahaja. Selain dari faktor wang, sangkar yang ada juga terhad. Dalam kiraanku, 20 ekor telah dibeli. Kebanyakan dari arnab yang dibeli berumur dalam lingkungan 1-1/2 hingga 2 bulan. Ada juga beberapa ekor arnab dewasa yang aku beli tetapi kebanyakannya arnab jantan. Aku dapati kadar pembiakan arnab aku tak lah seberapa kerana tak banyak arnab betina yang ada dan juga aku terpaksa menunggu sehingga anak-anak tu matang untuk bersedia disenyawakan dan  seterusnya melahirkan anak. Kadar kematian anak semasa kecil juga agak tinggi. Pada semua kelahiran setakat ini, ada anak yang mati. Ibu yang paling banyak beranak ialah KPG8-Koko dengan tiga kali kelahiran sejak dibeli pada 9 Apr 09. Hanya Koko dibeli pada umur matang dan mungkin telah melahirkan anak beberapa kali sebelum ia menjadi milikku. Dua ekor ibu lain yang kelahiran setakat ini merupakan dari peliharaan sejak kecil. Melihat kepada perkembangan setakat ini, aku membuat keputusan untuk menambahkan lagi baka betina agar kadar kelahiran akan lebih berganda.


Aku bercadang ke Pantai Remis berdasarkan maklumat dari kawanku yang mengatakan terdapat ladang di sana yang menjual anak arnab pedaging dengan harga berpatutan. Dah beberapa kali aku merancang untuk ke sana tetapi hajat tu tak kesampaian. Jauh sangat la... Aku mungkin ke sana sekiranya ada perjalanan ke selatan tapi hanya untuk ke sana untuk beli arnab 2-3 pasang macam tak berbaloi. Aku jengok-jengok kat mudah.my mana tahu ada yang nak menjual arnab pedaging dengan harga berpatutan dan tak berapa jauh. Alhamdulillah jumpa satu iklan dari Pn Siti Zawiyah di Changlun. Changlun? Dekat UUM tu? Masih jauh juga. Walaubagaimanapun pada Isnin lepas, 19 Okt aku telah sampai kesana dan membeli 4 ekor anak, betina semuanya. 3 pedaging dan seekor Anggora. Sebenarnya aku pada hari tu menghantar anak sulungku pulang ke sekolah asrama beliau di Pokok Sena, Alor Setar. Jadi untuk ke Changlun tu kira dah agak dekat, dalam 15minit memandu. Cikgu Siti pelihara hampir 90 ekor arnab di kawasan kampung berdekatan rumah beliau. Melihat arnab peliharaan Cikgu Siti membuatkan azam aku untuk pelihara arnab dalam skala yang besar semakin bertambah. Insya Allah tahun depan akan aku peruntukkan sedikit lagi dari bonus tahunan aku untuk membuat rumah arnab yang besar sikit. 

Thursday, October 22, 2009

Berjumpa Veterinar

Beberapa ekor arnab perliharaanku terkena penyakit yang sering ku lihat terjadi pada arnab peliharaan – kurap pada telinga. Dari pembacaanku, antara nama yang biasa dikenali ialah Ear Mites. Pada cuti Deepavali yang lepas aku mengambil kesempatan ke pejabat Veterinar daerah yang kebetulan hanya sekitar 500 meter dari kediamanku. Aku ke sana untuk mendapatkan rawatan pada dua ekor arnabku yang terkena penyakit ini. Sebenarnya ada beberapa ekor lagi yang terkena penyakit yang sama tetapi keadaan yang lain agak terkawal dan tak berapa serius. Aku telah gunakan minyak masak (mineral oil) untuk merawat mereka.

Sampai di pejabat Veterinar, aku terjumpa salah seorang dari sepupuku yang baru aku ketahui mengusahakan ternakan kambing. Dalam perbualan dengan suaminya, aku mendapat tahu bahawa ada beberapa ekor kambingnya yang mati. Mungkin mereka ke sana untuk mendapat khidmat nasihat dan sebagainya. Aku kemudiannya terus ke kaunter dan memaklumkan akan tujuan kehadiran aku ke sana. Aku diminta masuk bersama dua ekor arnab peliharaanku melalui pintu di sebelah tepi untuk ke bilik rawatan. Aku menunggu sekejap sementara pegawai yang berkenaan datang ke bilik rawatan. Setelah hampir limi minit menunggu, pegawai veterinar datang dan menjemput aku masuk ke dalam bilik rawatan. Kami bersembang ringan tentang arnab sementara beliau mencari ubat dan jarum untuk disuntik pada arnab-arnabku. Mula-mula aku keluarkan arnab pedaging NZ ke atas meja rawatan. Pegawai veterinar menyuntik ubat pada bahagian belakang arnab berdekatan dengan leher. Aku membantu memegang arnab supaya tidak lari. Selesai arnab yang pertama, aku mengambil keluar dari bakul arnab Angora jantan untuk diberikan rawatan yang sama. Pegawai tersebut memaklumkan supaya melihat perkembangan penyakit dan sekiranya selepas 12 hari dari tarikh suntikan tidak terdapat kesan positif, akau perlu datang semula untuk mendapat rawatan susulan. Harap-harap tak perlu jumpa lagi sekali...


Selesai suntikan aku kembali ke kaunter depan untuk membuat pembayaran. Jumlah yang dikenakan hanya RM12. Tak lah mahal sangat tapi kalau untuk beberapa ekor lagi, mungkin agak banyak juga jadinya. Aku juga diberikan sedikit cecair vitamin untuk diberikan pada arnab-anabku.

Friday, September 25, 2009

Setelah beberapa minggu berlalu... yang tinggal


Setelah beberapa minggu berlalu anak-anak arnab yang lahir pada Ramadan lepas telah membesar. Aku pulang berhari raya di rumah mertua di Alor Gajah, Melaka. Adik aku dan anak saudara aku telah sanggup menolong memberikan makan dan minum semua arnab-arnab yang ada disekeliling rumah aku. Terima kasih tidak terhingga pada mereka. Inilah yang terjadi kalau kita dah mula membiakkan haiwan peliharaan. Tak boleh outstation tanpa ada orang yang melihat dan menjaga haiwan peliharaan kita. Sekembali dari Alor Gajah, aku dapati seekor anak kampung dah mati dan anak Anggora yang ditumpangkan pada si Koko juga kelihatan lemah tak bermaya. Pada malamnya aku dapati si anak Anggora tu pun dah sejuk. 3 anak Anggora lain yang masih bersama ibu mereka dah buka mata dan berkeliaran dalam sangkar. Anak siKoko pula makin besar. Anak tumpangan yang kelabu juga nampak montel tapi belum buka mata. Aku belajar beberapa perkara pada kelahiran kali ini.

Monday, September 14, 2009

Eksperimen Anak tumpangan

Malam ni aku ambil seekor daripada anak Anggora untuk ditumpangkan pada Koko. Minyak wangi bauan bunga melur yang isteriku letakkan dalam kereta digunakan. Aku sapukan sedikit pada tapak tangan dan kemudian dilumurkan pada badan anak Anggora dan juga pada badan anak si Koko. Kedua dua ekor anak tu diletakkan bersama. Memang berbeza saiz depa nih. Hidung si Koko juga diusap-usap dengan bauan minyak wangi. Anak Anggora berkeliaran dalam kotak baru dan pada satu ketika nampak macam dah mula minum susu si Koko. Harap-harap eksperimen ni berjaya. Secara logiknya si Koko mungkin boleh perasan sebelum ni dia hanya ada seekor anak tapi malam ni ada dua ekor pula.


Antara makanan yang baik untuk ibu arnab menyusu ialah kacang botol. Ditakdirkan Allah, pokok kacang botol yang ada kat belakang rumah dah mula berbuah. Hujan yang kerap turun beberapa minggu yang lepas pada mula Ramadan mencambahkan lagi buah kacang botol.

Friday, September 11, 2009

Koko lahir anak lagi



Koko lahir anak buat kali ketiga semenjak dalam peliharaan aku. Tanggal 8 Sep 09, Koko melahirkan dua ekor anak lagi tapi hanya seekor sahaja yang hidup. Seekor lagi mungkin terpijak oleh Koko ataupun memang ada masalah lain. Berbanding dengan anak Anggora yang lahir Sabtu lepas, anak Koko nampak hampir sekali ganda besar berbanding dengan anak Anggora. Ada dua sebab, pertama kerana anak yang dilahirkan tak ramai dan yang kedua kerana baka jantan juga dari saiz besar. Buck yang dikahwinkan dengan Koko berbadan besar. Lihat gambar.

Aku nak buat eksperimen untuk tumpangkan anak Anggora pada Koko. Harap-harap dapatlah anak Anggora tu gemuk sikit macam anak Koko ni.

Sunday, September 6, 2009

Anggora kelahiran petang



Salam semua. Alhamdulillah Anggora aku dah beranak petang kelmarin. 4 ekor semuanya. Dok ingat arnab ni biasanya beranak waktu malam je. Tapi yang ni di siang hari.. Tak pe, janji tuan dia dapat tumpang seronok. Pada sebelah paginya aku ternampak bulu-bulu Anggora bercambah dalam sangkar. Hah ni nak beranak dah ni fikir aku. Kotak anak memang dah tersedia dalam sangkar lebihkurang seminggu dah. 3-4 hari sebelum ni dah letak sikit carikan kertas tapi dia buat derk je. Tapi pagi kelmarin bila carikan kertas (schreaded paper) tu diletakkan memang sibuk dia angkut masuk dalam kotak anak tu. Hah sah dia nak beranak dah. Aku tambah sampai habis semua kertas yang ada dalam simpanan untuk Anggora ni. Anggora jantan pasangan setia dia sejak mula beli dulu diasingkan dalam sangkar lain. Bagi ruang mak nak beranak...
Pada petang hari cuaca agak sejuk dan berangin. Aku baru saja balik membaiki mesin rumput yang tak boleh nak jalan. Aku berjalan ke arah sangkar Anggora dan ternampak seeokor anak dia atas lantai. Alhamdulillah dah beranak si Anggora ni. Tapi awat atas lantai je. Kotak kan dah disediakan... Jengok dalam kotak...oh ada lagi kat situ. Nampak ada dua lagi kat dalam tu. Aku panggil anak aku untuk ambil kamera dan snap beberapa shot anak-anak arnab tu. Yang kat luar tu aku masukkan dalam kotak bersama anak lain
Pagi ni biasalah curious nak tahu keadaan anak-anak Anggora tu. Tengok dalam kotak, eh ada empat ekor semuanya. Aku berdoa agar semuanya hidup membesar dan tak ada masalah ape-ape..Ibu Anggora ni agak garang berbanding dari yang jantan. Tak pe nanti kalau sempat cerila lagi.

Friday, August 28, 2009

Ibu baru, anak pergi

Kegembiraan mendapat tambahan anak arnab berakhir hanya sekejap sahaja. Dua hari selepas kelahiran, seekor anak tu kehilangan sebahagian badannya. Aku mengesyaki ada tikus atau makhluk lain telah membaham anak arnab ni. Sehari kemudian, anak yang se ekor lagi menerima nasib yang sama. Tinggal kepala sahaja, badan dah hilang. Sedih... huhu. Aku tak tahu sebab sebenar cuma merasakan ibu ini belum tahu menjaga anaknya dan memakan anaknya sendiri. mungkin ada iktibar disebalik kehilangan anak-anak arnab kali ini.

Monday, August 17, 2009

Cambahan zuriat



Alhamdulillah, semalam , Ahad 16 Ogos 2009, salah seekor dari arnab (KPG04) aku telah melahirkan 2 ekor anak. Ini merupakan kelahiran pertama untuknya. Selalunya arnab akan beranak antara 5-9 ekor. Kalau kelahiran yang lepas dari ibu matang, kelahiran kali ini adalah dari arnab yang dipelihara dari sejak kecil. Ibu jenis kampung ini berwarna putih dan bapa (KPG01) kepada 2 anak kecil ini berwarna kelabu. Kedua-dua anak ni nampaknya mengikut warna bapanya. Semasa kelahiran kali ini aku tak ada di rumah. Jadi tak sempat nak siapkan kotak ataupun menyediakan bahan yang diperlukan untuk kelahiran. Kesian juga tengok anak-anak kecil tu macam kesejukan je.

Mengikut rekod aku, ibu arnab ni mula matang pada bulan Julai, berdasarkan umur pada masa belian ialah 2 bulan. Sebelum ni aku cuba juga periksa perut dia tapi tak perasan dia tu mengandung. Aku kena buat persediaan awal untuk pasangan Anggora aku. Rasanya pasangan arnab pertama peliharaan aku tu pun dah tak lama lagi akan membiak.

Malam tadi sebaik saja aku tahu akan kelahiran ini, aku segera membuat kotak untuk anak-anak tu berlindung. Aku letakkan sedikit kertas (schreaded paper) didalam kotak tu untuk membantu anak arnab berlindung. Aku cuba dapatkan bulu arnab yang dicabut sendiri oleh arnab tu untuk anak-anak dia memanaskan badan. Tapi agak sukar kerana berada diceclah-celah dawai halus. Bulu arnab tu memang berperanan baik untuk mengurangkan kesejukan anak-anaknya.

Thursday, June 25, 2009



Aah.. lama dah tak dapat nak update perkembangan tentang arnab aku ni. Sibuk kat tempat kerja dan juga kurang idea nak menulis. Ok lah, nak masukkan gambar anak kelahiran pertama dalam peliharaan aku. Depa dah besar dan gebu-gebu belaka. Tapi hanya tinggal 5 sahaja dari 7 kelahiran asal. 2 ekor telah menemui Pencipta yang Agung. Kedua-duanya mula-mula nampak kurus macam tak cukup minum susu ibunya dan lepas tu dah sejuk. Perasan juga ada 1-2 ekor yang terlebih besar dari yang lain. Mungkin depa tu minum susu terlebih kot. Wallahua'lam.

Arnab Anggora pasangan pertama tu dah mula nampak riak-riak nak bersama. Biasanya yang jantan akan naik atas betina tapi kadang-kadang nampak yang betina atas yang jantan. Berasmara dana juga binatang ni pun.

Wednesday, June 3, 2009

Lop Ear



Arnab jenis Lop Ear memang cantik dilihat terutama semasa mereka masih kecil. Jadi aku telah turut membeli sepasang arnab jenis ini dari kedai haiwan peliharaan semasa ke B. Pulau pada 8 Mei 2009 yang lalu. Adik dan jiran aku yang datang ke rumah tempohari mengatakan yang jenis ni nampak macam anak patung. Maksud aku macam haiwan mainan yang diperbuat manusia. Mungkin pada manusia lebih digelar sebagai "mannequeen".
Kini dah hampir sebulan aku pelihara mereka, aku rasa macam dia orang ni tak membesar langsung. Tapi mungkin lebih tepat kalau aku katakan lambat membesar. Nak dikatakan kurang makan, aku letakkan makanan mereka ni pagi dan petang. Dan aku cuba terutama semasa kecil ini membekalkan makanan tanpa had. Mereka nampak masih comel dan "cute" sekali. Anak anak aku memang suka bermain dengan mereka.  Kadang-kadang anak-anak jiran turut datang pada petang hari untuk bermain-main dengan arnab-arnab tersebut.
Buat masa ni aku tak perasan apa-apa penyakit pada arnab-arnab aku tu kecuali pada se ekor arnab Kg. Pelet. Terdapat kurap pada telinganya. Aku sedang mencari punca dan cara untuk merawat arnab seekor tu. Dari pembacaan lepas ada yang meletakkan kerosene aje tapi mungkin akan menyakitkan arnab tu. Aku kena buat sikit research lepas ni dan cari ubat yang bersesuaian. 
Nak update sikit tentang arnab yang kawan Mak aku nak beri aritu. Kawan tu Noramira dari Bkt Gedung telah menghantar dua ekor arnab jantan "buck"ke rumah ibubapaku di B. Pulau. Aku tak tahu jenis apa, mungkin jenis kampung atau mungkin juga jenis Rex.  Saiz kedua-dua ekor arnab tu lebih besar dari arnab kampung biasa. Kata pemilik arnab tu, mereka tu jenis kacukan. Mungkin betullah tu tapi antara jenis apa tak diketahui. Tak kisah la..
Satu lagi update mengenai anak-anak arnab kampung yang lahir 25 Mei lepas. Seekor daripada anak tu dah mati... mungki terpijak oleh ibunya ataupun mungkin juga tak disusui oleh ibunya kerana telah menghidu anak yang telah disentuh manusia. Anak-anak aku dengarnya cuba meletakkan semula anak arnab yang telah berkeliaran dalam sangkar ditempat yang lebih selesa.  Mungkin mereka tidak menyapukan tangan mereka pada hidung ibu arnab tu. Jadi bila bau anak tu tak sama dengan yang lain, maka ibunya akan meninggalkan anak tersebut.


Wednesday, May 27, 2009

Arnab Kampung Pelet



Aku mengetahui mengenai arnab di Kampung Pelet daripada salah seorang sahabat dari jaringan WargaKilang.com. Arnab yang dipelihara di Syarikat Mutiara Kristal tu merupakan salah satu tambahan daripada usaha syarikat yang menternak kambing, puyuh, keli dan pelbagai pokok. Syarikat bumiputera ini banyak membekalkan daging dan susu kambing kepada pengguna. Aku tak berapa tahu secara mendalam cuma sedikit sebanyak daripada laman web syarikat. Aku dimaklumkan bahawa arnab adalah ternakan sampingan sahaja buat syarikat ini.

 Syarikat mengimport arnab bersama dengan kambing yang dibeli dari New Zealand. Kira tempat ni baka tulen (pure breed). Sebab tu agaknya harga anak-anak yang ditawarkan mungkin agak mahal pada aku. Kali pertama aku dan anak-anak aku melawat ke sini, kami dimaklumkan belum ada kelahiran anak kerana arnab-arnab tu baru sampai dalam sebulan lebih aje. Pada masa tu, ibu-ibu arnab telahpun diasingkan dalam sangkar khas untuk ibu yang akan melahirkan anak.  Arnab yang berada disini aku lihat memang bersaiz besar.  Aku pernah membela arnab jenis kampung beberapa tahun dulu tapi saiznya kecil dan sederhana sahaja.  Kalau tak silap pada masa tu dalam satu peringkat, arnab yang aku ada pelihara melebihi 100 ekor.  Tapi cara aku pelihara adalah dengan mencampurkan semuanya dalam satu atau dua sangkar sahaja.  Pembiakan cara tak terkawal sebegitu memang akan menghasilkan anak yang berganda-ganda. Semua keturunan ada, dari yang kecil sampailah yang dewasa.

Sifat yang ada pada arnab ialah mereka tak boleh terkejut dengan binatang lain seperti anjing dan sebagainya. Pengalaman sedih aku pada masa dahulu ialah arnab aku mati bergelimparan akibat daripada anjing liar yang berkeliaran pada waktu malam. Pada suatu ketika, hampir semua arnab mati disebabkan oleh anjing-anjing liar tu. Aku percaya anjing-anjing tu main-mainkan arnab tu, digigit dan dibiarkan mati. Sedih hu hu.

Tuesday, May 26, 2009

Kelahiran pertama



Jam menunjukkan hampir 12 tengah malam dan aku mula membuat persiapan untuk berhenti dari pekerjaanku menyiapkan sebuah lagi sangkar untuk arnab aku. Seperti biasa aku akan meninjau dan melihat arnab-arnab yang berada di depan rumah. Di sangkar tiga tingkat dekat dengan paip air di satu penjuru porch rumah tu, aku lihat makanan arnab dah hampir habis. Hah, makhluk ni memang aktif waktu malam, jadi aku kena tambah sikit lagi makanan diaorang, baru boleh diaorang kunyah malam nanti. Selesai meletakkan makanan di sangkar tiga tingkat tu, aku ke sangkar satu tingkat dimana aku meletakkan tiga ekor jantan dan satu ekor ibu yang sedang menunggu hari.

Semasa menjengah ke sangkar si ibu “Koko” aku melihat dia dah sibuk memperkemaskan tempat untuk dia melahirkan anak nya. Ha, dah nak beranak ni, aku menjangkakan akan mendapat kelahiran pertama arnab peliharaan aku. Aku sebenarnya tak sabar melihat arnab-arnab peliharaan aku membiak. Kebanyakan arnab yang aku beli masih kecil berumur lingkungan 2 bulan. Kena tunggu lima atau enam bulan baru nak matang dan boleh membiak. Lambat tu..Itulah sebabnya bila hari tu aku nampak ada arnab dewasa yang di jual di kedai haiwan di K. Batas tu, aku terus membeli sepasang. Atas sifat tak sabar tu lah aku sanggup bayar dengan harga yang mungkin orang lain tak sanggup bayar. Pada pandangan aku, sebaik sahaja anak ni dah membiak nanti, dapat baliklah pulangan pada pelaburan aku tu. Alhamdulillah dalam jangkamasa lebihkurang sebulan setengah, aku dah mula nampak untuk mendapat hasilnya.

Pada pagi Isnin 25 Mai 09, aku melihat ke dalam sangkar Koko dan tepat sekali telahan aku. Aku ternampak ada benda yang bergerak-gerak dalam sarang arnab tu. Alhamdulillah, arnab aku dah beranak. Aku ternampak seekor anak arnab terletak berjauhan sedikit dari kumpulan yang lain. Merah dan bulat anak arnab tu diseliputi sedikit bulu dari ibu arnab tu. Tak sempat aku nak mengira berapa jumlah anak-anak arnab tu semua. Tak sempat kerana aku perlu menghantar anak perempuan ku menaiki bas yang telah menunggu di tepi jalan. Menjelang petang, aku mendapat panggilan telefon dari anakku. Abah, ada 7 ekor semua anak arnab tu.

Friday, May 22, 2009

Ayman is 1 today - Happy birthday!



Happy birthday! 22 May 2009, Ayman is one year old today. As the name of this blog is after his name, I am writing a little bit about him here. Ayman is our youngest son. He has a distinct different from other children of us as he has a very sweet smile. Very photogenic indeed. He is a bit chubby though.

Ayman used to be very easy to sleep at night. It was actually a relief to my wife and I as most of our children used to sleep during the day and awake at night at their early months. However the situation has slightly reversed about few months ago. Ayman would now go to sleep past midnight and sometimes even around 2:00 a.m. We tried to put up with him in the beginning but ended up being sleepy at work. Later on we brought his playpan in our bedroom so that he can play with his toys. Oftentimes we did not really know when he actually went to sleep. He did not like being in his playpan as the space was limited. He likes to wander in the room and check on things in the cabinet and drawers, climbs on the tables and do all sorts of things. It is his "discovery" period.

We plan to celebrate his birthday when all of the family members are at home. Our eldest son is at studying at Sek Men Sains Pokok Sena and will be back for the school holiday in about a week from now.

Wednesday, May 20, 2009

Anak kampung


Pada hari Ahad 29 Mac 2009 aku telah berkunjung ke rumah sepupu aku yang pelihara arnab tu. Nak tinjau-tinjau melepaskan geram lihat arnab jenis telinga jatuh, Lop Ear. Sampai sahaja di sana bapa saudara aku beritahu bahawa sepupu aku telah ke rumah kawannya di Penaga (kampung Izan, kawan aku yang baru melahirkan anak) untuk mendapatkan anak arnab untuk aku. Tak sabar aku nak balik tunggu kat rumah nak tengok tambahan stok baka kampung.

Petang tu sepupu aku hantar lima ekor anak arnab kampung yang comel-comel. Seronok betul aku. Ada yang warna putih, ada yang warna oren. Aku letakkan semua dalam sangkar dibahagian bawah. Pada masa tu aku telah meletakkan sangkar arnab dibahagian belakang rumah.

Malang sungguh nasib aku, suatu petang (8 Apr 09) selepas balik dari kerja aku menjengok arnab-arnab tu di sangkar mereka. Aktiviti ni dah hampir menjadi rutin harian aku sejak mula pelihara arnab ni. Aku terkejut bila mendapati 3 ekor daripada anak arnab tu dah keras, mati. Mula-mula aku ingatkan anak aku yang cekik mereka tapi tak mungkin sampai 3 ekor sekali. Aku sendiri tak tahu sebenarnya kenapa 3 ekor mati sekaligus pada suatu masa. Sedih hu hu.. Tapi itulah cabaran mula membela binatang ni. Selepas tu aku letakkan yang 2 ekor lagi dibahagian atas bersama si kelabu. Aku letakkan dawai halus dibahagian belakang sangkar untuk menambah keselamatan arnab tu dari haiwan carnivor lain.

Dari pembacaan aku, binatang arnab ni ada ciri macam manusia. Mereka suka dibelai dan akan menjadi lebih jinak dengan kita jika kita rajin bermain dengan mereka. Suatu tazkirah pada aku sebab kurang membelai anak-anak sendiri. Semoga aku berubah menjadi seorang yang lebih prihatin pada keluarga aku dan makhluk lain disekeliling aku.

Tuesday, May 19, 2009

Mencari Baka





Arnab yang mula sekali aku beli adalah dari jenis Angora. Aku ke B. Pulau membeli sepasang arnab ini dan pada masa yang sama sempat menziarahi kedua ibubapaku. Memang sebelum ni aku tak pernah ambil kesah jenis-jenis arnab yang terdapat kat Malaysia ni. Dulu arnab yang aku pernah bela hanya berwarna putih jenis kampung. Mungkin dah ramai orang yang mengimport pelbagai jenis arnab di Malaysia ni.

Gambar-gambar ni adalah pasangan arnab (Angora) yang aku beli tu, 8 Mac 2009.

Pasangan arnab kedua adalah dari jenis kampung yang dibeli pada 9 Mac 2009 dari petshop di pekan K. Batas. Isteriku telah ke sana bersama anak-anak untuk membeli ikan hiasan untuk akuarium mereka. Jadi bila dah ternampak anak-anak arnab tu, terus isteriku memberitahu aku. Aku yang tengah excited terus aje minta dia belikan sepasang. Kedua-dua ekor arnab tu warna kelabu. Tapi umur salah seekor dari kelabu tu tak panjang, dah meninggal entah kenape tak tahu. Hu hu sedih gak.